Selasa, 2 September 2014 | 2:55pm

Pesawat Tanzania yang hilang dijumpai terhempas

DAR-E-SALAAM: Pesawat Ekspres Safari Tanzania yang hilang dijumpai terhempas di Taman Negara Serengeti, kira-kira 15 batu di sempadan Kenya-Tanzania semalam, mengorbankan ketiga-tiga penumpangnya.

Semua mangsa hangus dan tidak dikenali dalam pesawat terbabit yang sedang menuju ke Magadi di Kenya dari Mwanza, Tanzania di mana ia terhempas malam kelmarin.

Serpihan pesawat itu dijumpai di kawasan hutan pagi semalam dan hangus terbakar, lapor akhbar The Standard.

Polis Kenya berkata, pegawai kawalan udara di Dar-e-salaam berkata mereka hilang perhubungan dengan pesawat terbabit sejurus selepas ia berlepas pada petang Ahad.

Pesawat Fokker 27 MK 500 itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta (JKIA) di Nairobi, Kenya pada 8.36 malam Ahad tetapi tidak kelihatan.

Pegawai kawalan udara JKIA juga mengesahkan mereka hilang perhubungan atau pesawat itu tidak melalui ruang udara Kenya ketika ia hilang. Helikopter polis dihantar untuk gerakan mencari.

Serpihan pesawat dijumpai oleh pasukan bersama pihak berkuasa Kenya dan Tanzania. - BERNAMA-NNN

Berita Harian X