Khamis, 2 Oktober 2014 | 11:05am
Beratus-ratus pelajar berhimpun di Times Square New York bagi menyokong 'Revolusi Payung' yang diadakan di Hong Kong semalam. - Foto AFP

Pelajar di Amerika Syarikat sokong 'Revolusi Payung' Hong Kong

NEW YORK: Beratus-ratus pelajar dijangka mengadakan perhimpunan 'Revolusi Payung' di 40 bandar raya di Amerika Syarikat termasuk New York, San Francisco, Boston dan Chicago bagi menyokong penunjuk perasaan prodemokrasi di Hong Kong.

Penganjurnya Anna Cheung, berkata perhimpunan di New York diadakan di Times Square. Terdahulu, pelajar terbabit, kebanyakannya dari Hong Kong, mengedarkan lebih 1,000 risalah dan beratus-ratus reben di Universiti California, Berkeley.

Di China Town San Francisco, sebilangan orang berdemonstrasi dengan sepanduk mengandungi mesej seperti 'You Are Not Alone' dan 'United For Democracy'. Payung pula menjadi simbol pergerakan bantahan awam di Hong Kong di mana penunjuk perasaan menggunakan payung untuk mengelakkan semburan lada polis.

"Kami merasakan tidak ramai rakyat Amerika tahu apa yang berlaku di Hong Kong," kata June Lai, 20, penganjur demonstrasi di Berkeley.

Puluhan ribu orang menyertai perhimpunan di Hong Kong sejak minggu lalu. Mereka mengancam untuk menduduki bangunan kerajaan kecuali jika Ketua Eksekutif Hong Kong berundur.

Penunjuk perasaan itu menentang keputusan Beijing bulan lalu bahawa calon dalam pilihan raya 2017 perlu disahkan terlebih dulu oleh jawatankuasa yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan elit pro-Beijing. - AP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X