Jumaat, 8 Disember 2017 | 4:00pm
EXCO Puteri UMNO, Dira Abu Zahar. - Foto Aziah Azmee
SEBAGAI selebriti lebih mudah untuk Dira meraih sokongan dalam politik. - Foto Aziah Azmee
DIRA mahu memberikan komitmen penuh terhadap perjuangan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14. - Foto Aziah Azmee
DIRA sedia berkhidmat demi masa depan bangsa dan negara. - Foto Aziah Azmee

Tak salah guna status selebriti - Dira

KUALA LUMPUR: EXCO Puteri UMNO, Khaidhirah Abu Zahar, mengakui menggunakan kapasiti sebagai seorang selebriti lebih mudah untuk dirinya meraih sokongan dalam politik.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Dira, bagaimanapun berkata, saluran itu seharusnya digunakan dengan betul dan tidak dimanipulasi untuk perkara lain seperti mahu populariti semata-mata.

Dira berkata, selebriti juga individu biasa yang mempunyai hak menyokong mana-mana parti politik, justeru ia platform yang bermanfaat untuk berkongsi maklumat berguna dengan peminat.

"Antara cabaran politik ketika ini adalah serangan di media sosial yang digunakan untuk mengecam tindak tanduk pemimpin negara.

"Senario ini memperlihatkan ada perubahan dalam demokrasi, rakyat lebih mudah bersuara.

"Saya berpendapat, sebelum mengkritik fahami situasi sebenar terlebih dulu dan gunakan saluran yang betul untuk bersuara," katanya ketika ditemui BH, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Dira yang hadir di sini sebagai perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 berkata menggunakan saluran itu untuk menyampaikan pelbagai isu untuk dibahaskan.

Katanya, saluran seperti ini lebih bermanfaat khususnya untuk menyuarakan pendapat.

"Kita bahaskan isu di akar umbi untuk sekurang-kurangnya diberi perhatian dan dibawa ke peringkat lebih tinggi.

"Untuk memperjuangkan sesuatu ia memerlukan desakan, tidak guna cakap kosong di media sosial atau sebagainya, tidak ke mana," katanya.

Beliau juga sudah setahun bersara dari dunia lakonan demi menumpukan perhatian terhadap perniagaan dan anaknya perempuannya, Tengku Anggun Deandra Tengku Shafiz-Rullah yang berusia 10 tahun.

Hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi juga terpaksa dihentikan seketika atas komitmen tinggi menjalankan perniagaan makanan.

"Motosikal itu perlu ada di rumah walaupun saya tidak lagi menunggangnya. Ubat jiwa," katanya berseloroh.

Selain itu, Dira juga mahu memberikan komitmen penuh terhadap perjuangan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Ini masa untuk saya berkhidmat kepada masyarakat sebagai tanda terima kasih atas sokongan yang pernah diberikan kepada arwah ayah dulu.

"Dalam melakukan pelbagai perkara kita juga harus memikirkan mengenai masa depan bangsa dan negara, justeru saya sedia berkhidmat," katanya.

Biodata: Khaidhirah Abu Zahar

Umur: 33 tahun

Jawatan: EXCO Puteri UMNO Tangga Batu, Melaka

Hobi: Menunggang motosikal berkuasa tinggi

49 dibaca
Berita Harian X