Sabtu, 9 Disember 2017 | 4:42pm
TEH Nadirah pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC. - Foto Aziah Azmee
ROSMAH menerima potret beliau yang dilukis oleh Teh Nadirah (tiga dari kiri) selepas perasmian Spa Mobil Butterfly hasil kerjasama Puteri UMNO dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di PWTC. - Foto BERNAMA

Teh perkasa wanita dengan karya tema rambut

KUALA LUMPUR: Sejak kecil Teh Nadirah Hamdan, 27, mengimpikan untuk berambut panjang namun hasrat itu terhalang kerana terikat dengan peraturan sekolah.

Bagaimanapun sebaik tamat Tingkatan lima, wanita ini 'membalas dendam' dengan menyimpan rambut panjang sehingga mencecah paras lututnya.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Teh berkata, ia secara tidak langsung memberi cetusan idea kepada dirinya untuk menghasilkan seni halus bertemakan rambut.

"Saya bersekolah di sekolah aliran Cina sejak darjah satu. Di sekolah peraturannya sangat ketat dengan pelajar perempuan hanya dibenarkan untuk menyimpan rambut setakat paras leher saja.

"Kini sudah 10 tahun saya membelanya. Justeru, tatkala sibuk mencari identiti dalam menghasilkan lukisan seni ia sedikit sebanyak memberi cetusan inspirasi," katanya ketika ditemui BH pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Kehadirannya pada perhimpunan terbabit adalah untuk menjual hasil seninya yang dijual di aras tiga Laman Puteri, PWTC.

Teh yang juga lulusan Sarjana Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang seni halus dan teknologi berkata seninya membawa perjuangan wanita, justeru subjek yang diguna pakai seperti pemimpin ternama bertujuan untuk memperkasakan wanita.

"Seperti yang kita maklum, rambut adalah mahkota wanita. Rambut memainkan peranan yang cukup besar dalam hidup dan ia berkait rapat dengan menonjolkan ciri feminin dan kekuatan seorang wanita itu.

"Saya sendiri mempunyai kisah berkaitan dengan rambut, begitu juga wanita lain. Jadi tema rambut ini cukup dekat dengan diri dan mudah untuk diterjemahkan kepada sesiapa saja," katanya.

Antara wanita yang sering dijadikan subjek lukisannya adalah ibunya sendiri, Roselyn Ainun Abdullah.

Selain itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Allahyarham Datuk Maznah Hamid juga menjadi ikon dalam lukisannya.

Sempena lawatan Rosmah ke tapak niaga di Laman Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 semalam, beliau juga sempat menghadiahkan lukisan potret wanita pertama itu sebagai kenang-kenangan.

Berita Harian X