Khamis, 27 November 2014 | 7:01pm
Piti Pramotedham (kanan) dan Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat pada pelancaran prospektus Kronologi. - Foto Yusni Ariffin
Piti Pramotedham (kanan) dan Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat pada pelancaran prospektus Kronologi. - Foto Yusni Ariffin

Kronologi unjur raih RM17.18 juta daripada IPO

KUALA LUMPUR: Kronologi Asia Bhd (Kronologi) menyasar untuk meraih RM17.18 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia, dengan tarikh penyenaraian dijangka pada 15 Disember ini.

Syarikat itu yang berpangkalan di Singapura dan mengkhusus dalam Pengurusan Data Enterpris (EDM), membuat terbitan awam sebanyak 59.25 juta saham biasa baharu dengan nilai tara 10 sen sesaham, pada harga terbitan 29 sen sesaham.

Ketua Pegawai Eksekutif Kronologi Group, Piti Pramotedham, berkata 4.74 juta saham ditawarkan untuk langganan rakyat Malaysia, 7.11 juta saham bagi pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan itu, serta 47.40 juta saham yang akan ditawarkan melalui tawaran awam untuk pelabur yang dikenal pasti.

"Sebagai sebahagian daripada strategi kumpulan, RM6.0 juta daripada hasil akan digunakan untuk pengembangan di pasaran sedia ada pasaran membangun, RM3.5 juta untuk perbelanjaan R&D, RM4.48 juta untuk perbelanjaan kerja dan RM3.2 juta bagi perbelanjaan penyenaraian," katanya selepas pelancaran prospektus syarikat itu hari ini.

Pramotedham berkata Kronologi merancang untuk mengukuhkan pasaran di Singapura, Malaysia, Filipina, Thailand dan India dan melihat potensi di Vietnam, Myanmar dan Sri Lanka.

Kumpulan itu mencatat keuntungan selepas cukai RM5.56 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 dengan perolehan sebanyak RM42.17 juta, dan bagi separuh pertama tahun ini, mencatat keuntungan RM3.41 juta daripada hasil sebanyak RM28.10 juta.

Bank Islam Malaysia Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk proses penyenaraian kumpulan. - BERNAMA

Berita Harian X