Khamis, 27 Ogos 2015 | 2:05pm

Bursa Malaysia teruskan aliran meningkat pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia melanjutkan pergerakan meningkatnya pada tengah hari ini disokong sentimen luaran yang memberangsangkan susulan kenaikan semalaman di Wall Street, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 16.33 mata kepada 1,596.7, selepas bergerak antara 1,579.06 dan 1,598.06 sepanjang sesi dagangan pagi.

Peniaga berkata kenaikan itu didorong pembetulan pasaran daripada jualan baru-baru ini dalam keadaan jangkaan kurangnya kemungkinan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah pada bulan depan dan data ekonomi kukuh.

Bagaimanapun, beliau berkata ketidaktentuan pasaran perlu kekal tinggi dengan kebanyakan pelabur mengambil pendekatan dagangan untuk 'beli saham murah dan jual saham naik', memandangkan perhatian terhadap pertumbuhan global yang berterusan dan mata wang negara pesat membangun.

Pada papan skor, Indeks FBM Emas melonjak 126.24 mata kepada 10,871.7, Indeks FBMT100 meningkat 119.28 mata kepada 10,633.88 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 106.25 mata kepada 11,353.1.

FBM 70 menokok 168.271 mata kepada 11,489.87 dan FBM Ace menambah 82.56 mata kepada 4,979.38.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 262.6 mata kepada 14,176.76, Indeks Perusahaan menokok 20.49 mata kepada 3,034.12 dan Indeks Perladangan naik 28.7 mata kepada 6,791.08.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 587 berbanding 180 dengan 237 kaunter tidak berubah, 799 kaunter tidak didagangkan dan 44 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.16 bilion saham bernilai RM932.97 juta.

Antara saham aktif, AirAsia naik 7.5 sen kepada 85.5 sen, Compugates meningkat setengah sen kepada lima sen dan IFCA MSC tambah tiga sen kepada 57.5 sen.

The Media Shoppe susut setengah sen kepada 14.5 sen manakala Frontken tidak berubah pada 16 sen.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank melonjak 12 sen kepada RM8.62, Public Bank menokok 10 sen kepada RM17.94, TNB naik enam sen kepada RM11.08, Axiata tambah satu sen kepada RM6.16 dan Maxis meningkat 20 sen kepada RM6.66. - BERNAMA

Berita Harian X