Jumaat, 1 April 2016 | 11:38am
Model 3 Tesla.
Model 3 Tesla.

Peminat Tesla berkhemah, berbaris panjang daftar model baharu

ORANG ramai beratur panjang di luar kedai Tesla Motors untuk membayar deposit tempahan kereta elektrik pertengahan Model 3 Tesla yang dijangka menelan belanja sekitar $AS35,000 di Pasadena, California. - Foto REUTERS
ORANG ramai beratur panjang di luar kedai Tesla Motors untuk membayar deposit tempahan kereta elektrik pertengahan Model 3 Tesla yang dijangka menelan belanja sekitar $AS35,000 di Pasadena, California. - Foto REUTERS

LA JOLLA: Peminat syarikat pembuat kereta elektrik mewah, Tesla Motors Inc, berkhemah semalaman dan berbaris panjang untuk meletakkan deposit bagi model baharu yang lebih murah yang dijadual diumumkan dalam satu majlis lewat semalam.

Dalam suasana yang mengingatkan kepada pelancaran produk Apple Inc, bakal pembeli Model 3 kereta yang dikeluarkan oleh pengeluar di Silicon Valley itu mendirikan khemah dan kerusi di kaki lima di luar kedai Tesla, yang mula mengambil prapesanan untuk kenderaan.

Ketua Eksekutif Tesla, Elon Musk, merancang memperkenalkan prototaip Model 3 di Los Angeles pada 0330 GMT (hari ini) dengan talian prapesanan bermula satu jam lebih awal daripada itu.

Musk dalam twitter berkata, Tesla telah menambah lebih banyak negara termasuk India, Brazil, Afrika Selatan, Korea Selatan, New Zealand, Singapura dan Ireland ke dalam laman tempahan Model 3.

Kenderaan itu akan memasuki pengeluaran pada akhir 2017 dan dijangka menelan belanja sekitar AS$35,000 (RM136,429) sebelum pelepasan cukai.

Barisan di kedai Tesla Pasadena berhampiran Los Angeles mengunjur ke sekitar blok dan di kedai Tesla di Walnut Creek di kawasan ABC TV-San Francisco, menunjukkan barisan panjang yang dipenuhi dengan kerusi perkhemahan dan khemah.

Di Burbank, sekitar 500 orang menunggu sejak tengah hari.

Di La Jolla, California, jurutera biobahan berusia 25 tahun, Ali Athar, menunggu selama kira-kira lima jam sebelum mendaftar untuk dua unit kereta, satu untuk dirinya dan satu untuk kakaknya.

Barisan di pusat beli-belah La Jolla menjangkau melepasi kedai buku Amazon.com dan kedai kedai Apple yang akan dibuka tidak lama lagi.

Athar berkata, reka bentuk Tesla, kecekapan tenaga, dan peluang untuk bertemu dengan orang-orang yang berfikiran sepertinya, mendorong beliau untuk menyertai barisan. Deposit yang dikembalikan adalah AS$1,000 (RM3,898) setiap satu.

"Ini adalah permulaan era baru. Saya mahu menyokong revolusi ini," katanya.

Tanda harga yang dijangka untuk Model 3 adalah kira-kira separuh daripada harga permulaan bagi Model S sedan mewah, yang adalah lebih pantas daripada kebanyakan supercar termahal di seluruh dunia.

Model yang lebih murah adalah penting untuk rancangan pertumbuhan Tesla kerana ia bergerak ke segmen pengguna yang lebih meluas.

Pengguna AS boleh mengurangkan kos kenderaan elektrik menerusi kredit cukai persekutuan sebanyak AS$7,500 (RM29,245) dan beberapa negeri termasuk California turut menawarkan kredit cukai.

Saham Tesla ditutup naik 2.8 peratus pada AS$229.77 (RM895.72) di Nasdaq semalam, menjelang penampilan sulung Model 3. - REUTERS

Berita Harian X