Sabtu, 26 November 2016 | 12:13am

AirAsia rancang IPO syarikat pegangan operasi ASEAN

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd merancang melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) ASEAN Holding Co, yang akan terdiri daripada semua operasi di rantau ini, setelah syarikat penerbangan tambang rendah itu berhasrat mendapatkan asas pelabur lebih besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes memberitahu CNBC, ramai berminat terhadap saham syarikat dan usaha ke arah pelaksanaan IPO sudah bermula.

Katanya, penyenaraian ASEAN Holding Co akan mewujudkan jentera ekonomi tunggal yang akan membolehkan penganalisis serta pelabur melihat kumpulan secara keseluruhan dan bukan hanya operasi Malaysia dengan syarikat sekutu sahaja.

Bagaimanapun, beliau berkata, rancangannya ialah untuk menyenaraikan AirAsia Indonesia dan AirAsia Philippines dahulu pada separuh pertama tahun depan, sebelum meneliti untuk menyenaraikan ASEAN Holding Co.

"Ini bermakna semua sekutu ASEAN AirAsia akan disenaraikan. Barulah kami akan mengambil langkah seterusnya dan mewujudkan ASEAN Holding Co dan membolehkan kami menjadi sebuah jentera ekonomi," kata Tony kepada saluran berita itu, hari ini.

Beliau berkata, banyak peraturan yang perlu diteliti.

"Banyak halangan kawal selia tetapi anda tahu kami selalu yang pertama dalam mencuba sesuatu dan respons awal yang kami dapat daripada pemimpin dan pengawal selia adalah positif," katanya.

Ketika ditanya mengenai pemilihan Hong Kong untuk penyenaraian berkenaan, beliau berkata, syarikat penerbangan menerima sambutan hebat daripada Asia Utara.

"China, Hong Kong, China Taiwan dan Korea Selatan adalah sebahagian besar perniagaan kami. Ramai pelabur berminat terhadap saham kami," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sama ada syarikat akan meletakkan keseluruhan pegangan syarikat, adalah perkara lain.

"Bagaimanapun ia tentunya dwi penyenaraian. Kami mahu mendapatkan asas pelabur yang lebih besar," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X