Jumaat, 15 Ogos 2014 | 6:37pm
Guru adalah pendidik yang memcorakanak bangsa menjadi orang yangberguna. - Gambar hiasan
Guru adalah pendidik yang memcorakanak bangsa menjadi orang yangberguna. - Gambar hiasan

Guru ejen pengubah masyarakat

Tanggungjawab mendidik meliputi usaha meniup semangat murid capai kejayaan

Prof Dr Muhaya beri panduan untuk guru menjadi pendidik bertanggungjawab sampaikan ilmu kepada murid

[email protected]

Sedar atau tidak, kita adalah seorang guru. Dalam erti kata lain, setiap perbuatan dan tindakan kita adalah dalam bentuk mendidik serta memberi kebaikan tidak kira kepada sesiapa sekalipun apatah lagi diri sendiri.

Pakar Transformasi Diri, Prof Dr Muhaya Mohamad menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm memberi beberapa panduan terutama kepada individu yang memikul tanggungjawab sebagai seorang guru. Guru atau pendidik adalah orang yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu secara formal kepada murid.

Ini bermakna, seseorang guru juga bertindak sebagai model bagi anak murid selain ibu bapa.

Guru jadi teladan

Prof Muhaya berkata, pendidik terutama guru yang diberi kepercayaan untuk mengajar anak-anak penting baginya menonjolkan suri teladan yang baik bagi mencorak anak menjadi manusia yang penuh kebaikan.

Kanak-kanak belajar daripada orang dewasa, sebab itulah seawal usia kanak-kanak lagi mesti diterapkan dengan nilai murni. Ini kerana kanak-kanak mempunyai minda bawah sedar yang terbuka luas. Apa sahaja yang ada depan mata akan diterima tanpa ada sebarang prejudis.

Justeru, gurulah yang bertindak untuk mencorak dan membina sudut fikir seseorang hingga menjadi manusia yang bersifat rabbani.

Bayangkan jika seorang guru yang mempunyai sistem nilai tinggi, jiwa pengasih, sabar dan emosi seimbang, pastinya manusia yang akan dibentuk adalah insan mempunyai keperibadian mulia kerana asas didikan yang diberikan adalah baik.

Jika seseorang guru gagal memahami tugasannya sebagai pendidik, tidak ada disiplin diri tinggi, kurang nilai kasih sayang dalam diri, bayangkan bagaimana anak murid yang dibentuk daripada nilai personaliti yang lemah ini.

Sudah pasti anak berkenaan tidak dapat membesar bersama sahsiah diri yang tinggi sebaliknya menjadi orang tercorot dalam pencapaian hidup mereka. Guru bukan hanya bertanggungjawab ketika berada di bilik darjah tetapi kesannya adalah sepanjang setiap perjalanan kehidupan manusia itu sendiri.

Guru yang memberi manfaat kepada anak murid akan mendorong pelajar itu menjadi orang bermanfaat kepada kehidupan, ia umpama ganjaran saham akan diterima guru itu. Jika guru mengabaikan tugasan membina akhlak mulia, guru berkenaan sebenarnya gagal sebagai seorang pendidik.

Ukuran kejayaan pelajaran

Kejayaan bagi seorang pelajar tidak boleh diukur hanya melalui kejayaan dalam peperiksaan, sebaliknya pelajar itu lebih berjaya jika berjaya membentuk keperibadian mulia.

Malah, guru yang mengabaikan pendidikan akhlak, dengan menitikberatkan kepada kecemerlangan akademik semata-mata tidak akan mencapai keseimbangan kerana kejayaan dalam pelajaran mesti seiring dengan keperibadian yang baik.

Kita semua pendidik yang bertanggungjawab mengajar dan belajar. Tidak kira ibu, bapa, majikan, sahabat atau sesiapa, individu itu harus menjalankan peranan sebagai pendidik yang menjadi inspirasi kepada orang lain.

Jika kita pekerja sekalipun, harus selalu meningkatkan keperibadian diri dengan menyerlahkan sifat penyayang, menghormati orang lain, pemaaf kerana tanpa kita sedar, perbuatan baik itu secara tidak langsung menjadi sumber pendidikan bagi orang lain untuk mempunyai perilaku yang sama.

Seorang guru yang terdidik melalui pembangunan insan tinggi menyumbang kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang berjaya kerana guru yang baik bukan hanya menekankan akademik semata-mata, tetapi turut memasukkan nilai mulia dalam kalangan anak muridnya.

Ramai guru yang mengajar, tetapi tidak mendidik. Dengan kata lain, guru hanya mengajar menurut apa yang ada di atas kertas. Tetapi guru yang mempunyai jiwa mendidik akan selalu berusaha mendekatkan pelajarnya dengan nilai moral yang baik disamping selalu memberi nasihat berguna kepada pelajarnya.

Untuk menjadi pendidik, guru harus membuat transformasi dalam jiwanya yang bersifat lembut, bicara dengan sopan, melayan anak muridnya seperti anak sendiri, pasti akan dapat melahirkan manusia yang tinggi sahsiah diri serta dapat membina negara terdidik dengan akhlak tinggi.

Seorang guru yang baik selalu menjadikan persekitaran sebagai sumber ilmu kepada dirinya. Malah anak murid juga adalah wadah untuk dirinya mendapat ilmu. Bila menyebut ilmu, bukan hanya pelajaran yang ada dalam buku teks sahaja, tetapi mempelajari daripada orang lain itu juga adalah ilmu yang berguna untuk diri.

Cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing dalam kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani kuat dan kesabaran tinggi dalam kalangan pendidik. Justeru, guru perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal bagi mendepani cabaran ini.

Sebagai persediaan, guru perlu terlebih dahulu melengkapkan dirinya dengan ilmu yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah SWT. Hubungan yang akrab dengan Allah SWT serta jiwa tawaduk seorang guru akan menerbitkan nilai murni dan menjadikannya ejen motivasi kepada pelajar.

Guru wanita yang dianugerahi sifat keibuan penuh kelembutan dan penyayang akan lebih mudah untuk menguruskan pelajar bermasalah. Pendekatan yang lembut akan lebih berkesan daripada bertindak garang atau mengenakan hukuman bagi pelajar nakal.

Pengaruh tentukan tindak tanduk murid

Guru mempunyai pengaruh tinggi menentu tindak tanduk anak murid. Salah satunya sebagai motivasi kepada pelajarnya. Guru adalah persekitaran yang sangat berperanan dalam proses belajar dan meningkatkan motivasi pelajar dalam pelajaran tugas yang sangat penting bagi guru.

Guru adalah pemberi nasihat dengan kasih sayang yang akan mempengaruhi tingkah laku atau perkembangan pelajar ke arah yang positif. Guru begini dapat membantu pelajar yang tidak berminat terhadap pelajaran untuk menjadi pelajar yang sekurang-kurangnya rajin ke sekolah atau tidak terbabit dengan masalah disiplin sekolah.

Bagi tujuan itu, guru perlu memantapkan jati diri dari aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual demi memastikan peranan serta tugasannya tidak tersasar daripada matlamat. Tugas guru bukan saja membantu pelajar berjaya dalam pelajaran, juga menjadi Mukmin yang taat perintah Allah SWT.

Guru sebagai perubahan masyarakat sentiasa berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran dan semangat pelajar mencapai kejayaan. Guru adalah murabbi yang menjadi 'ibu dan bapa' bagi anak di saat duka dan suka. Guru insan mulia dan akan tetap dikenang dengan gelaran 'cikgu'.

Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Berita Harian X