Sabtu, 16 Mei 2015 | 12:03pm

Guru, ibu bapa patut kerjasama bentuk sahsiah pelajar

Pada 16 Mei setiap tahun, negara menyambut Hari Guru, bagi mengenang serta menghargai segala jasa, sumbangan serta pengorbanan diberikan warga pendidik yang banyak mencurah bakti, masa serta tenaga untuk mendidik. Tidak dapat dinafikan, kehidupan dunia masa kini amat memerlukan tenaga manusia yang mempunyai pelbagai kemahiran serta ilmu pengetahuan.

Oleh yang demikian, peranan dimainkan warga pendidik semakin penting bagi menyalurkan segala ilmu pengetahuan yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar sebelum mereka menempuh alam realiti. Tema sambutan Hari Guru yang dipilih tahun ini ialah Guru Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak.

Sesuai tema dipilih, penting bagi pendidik terutama guru memastikan bahawa selain ilmu duniawi serta kemahiran yang dicurahkan kepada pelajar, penting juga bagi mereka menyalurkan lmu yang dapat membentuk sahsiah serta keperibadian pelajar ke arah lebih baik serta yang boleh dibanggakan semua peringkat dalam masyarakat.

Isu keruntuhan akhlak pelajar dilapor media massa

Sering kali kedengaran melalui media massa isu keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar. Ia menjadi semakin ketara dalamkalangan remaja khususnya pelajar sekolah.

Penyalahgunaan dadah, peras ugut, buli, merokok, lepak atau berkeliaran di tempat hiburan dan pasar raya sudah menjadi satu berita biasa yang didengari dalam masyarakat.

Pengaruh budaya negatif

Persoalannya, kenapakah perkara seperti ini boleh berlaku? Banyak yang menuding jari ke arah teknologi komunikasi moden yangdikatakan menjadi faktor utama yang mempengaruhi budaya negatif dalam kalangan remaja masa kini seperti Internet, Youtube, Facebook, Twitter, Instagram dan WhatsApp.

Lebih menyedihkan, wujudnya segelintir pihak yang saling menuding jari antara satu sama lain menjadi punca kepada masalah keruntuhan akhlak golongan ini seperti guru yang menyalahkan ibu bapa ataupun penjaga serta pihak ibu bapa ataupun penjaga yang menyalahkan sekolah terutama guru kerana gagal membimbing anak mereka.

Perlu diingatkan, semua pihak memainkan peranan penting bagi membentuk sahsiah serta jati diri seseorang kanak-kanak ataupun remaja. Oleh yang demikian, ibu bapa ataupun penjaga serta guru perlu sentiasa menjalin kerjasama serta berkomunikasi dengan baik bagi menjamin pembentukan sahsiah murni dalam kalangan anak atau pelajar mereka.

Semua pihak juga harus saling bekerjasama bagi memastikan masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan golongan muda dapat dibendung pada peringkat awal, sebelum ia menjadi semakin serius serta di luar kawalan.

Peranan sekolah, keluarga

Sekolah memainkan peranan penting selepas institusi keluarga dalam pembentukan akhlak dan ini jelas termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Negara. Peranan guru kini menjadi semakin penting bagi memastikan sahsiah murni dalam kalangan pelajar dapat dibentuk serta kekal terpelihara.

Sesungguhnya budaya masyarakat Malaysia yang unik amat kaya dengan pelbagai nilai serta tata cara hidup yang murni. Oleh itu, menjadi tanggungjawab guru dalam mendidik pelajar bukan saja untuk mengenali nilai serta tata cara hidup yang murni, malah menghayati serta mengamalkannya setiap masa.

Penghayatan amalan moral dan akhlak yang baik dalam kalangan pelajar diharap dapat merealisasikan matlamat pendidikan negara serta mencapai salah satu hasrat Wawasan 2020 dengan melahirkan masyarakat yang mempunyai sahsiah, jati diri serta akhlak murni yang tinggi.

Diucapkan Selamat Menyambut Hari Guru 2015 kepada semua warga pendidik.

Berita Harian X