Isnin, 18 April 2016 | 6:02am

SPAN jamin pengguna terima air terawat

MUSIM panas disebabkan fenomena El Nino menyebabkan air di beberapa empangan surut.. - Foto Ramdzan Masiam
MUSIM panas disebabkan fenomena El Nino menyebabkan air di beberapa empangan surut.. - Foto Ramdzan Masiam

S: BH baru-baru ini melaporkan paras air di empangan beberapa negeri semakin susut. Keadaan ini dikhuatiri boleh menjejaskan bekalan air di negeri berkenaan. Apakah tindakan segera SPAN bagi menangani masalah ini?

Mohd Ridhuan: SPAN adalah badan kawal selia bagi perkhidmatan bekalan air yang membabitkan air terawat di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sumber air di negeri adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing dan dikawal selia oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri masing-masing. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri memastikan sumber air mencukupi untuk pelbagai tujuan termasuk bekalan air minuman bagi kegunaan penduduk di negeri berkenaan. Namun demikian, oleh kerana air terawat yang dibekalkan kepada pengguna bergantung sepenuhnya kepada sumber air mentah, SPAN bertanggungjawab untuk memastikan air yang mampu dirawat itu dibekalkan secara saksama kepada pengguna dengan gangguan yang minimum. Dalam keadaan di mana sumber air tidak mencukupi, SPAN bertanggungjawab untuk memastikan pengguna terus mendapat bekalan air, sama ada melalui lori tangki atau melalui paip agihan secara berjadual atau catuan. Tindakan ini dibuat mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang memberi kuasa kepada SPAN untuk melulus atau menolak cadangan kerajaan negeri untuk melakukan catuan bekalan air.

S: Setakat ini, berapa banyak loji rawatan air (LRA) yang tidak dapat beroperasi berikutan penyusutan air empangan atau air sungai? Apakah SPAN mempunyai pelan khas bagi menangani perkara ini?

Mohd Ridhuan: Sehingga Jumaat lalu, empat loji rawatan air, masing-masing di Pahang dan Johor, Kedah (tiga) dan satu di Perak terjejas dan tidak dapat merawat dan mengeluarkan jumlah air terawat seperti hari biasa disebabkan kekurangan sumber air mentah. Kesemuanya sejumlah 26,706 pemilik akaun air atau kira-kira 133,530 orang menghadapi gangguan bekalan air. Pada masa ini, semua operator air negeri yang berkaitan sudah mengambil tindakan susulan iaitu menghantar bantuan bekalan air ke kawasan terjejas dengan lori tangki dan menempatkan juga tangki-tangki statik.

S: Setiap tahun, ada beberapa negeri terutama Selangor, Lembah Klang dan negeri lain akan berdepan dengan krisis bekalan air setiap kali dilanda El Nino. Bagaimana masalah ini boleh diatasi agar tidak berulang pada masa akan datang?

Mohd Ridhuan: Seperti yang dijelaskan pada awal tadi, jika krisis bekalan air berulang atau berlaku di mana-mana negeri, SPAN akan menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepadanya untuk meluluskan atau tidak tindakan mencatu bekalan air.

S: Ada pakar air mendakwa sistem pengurusan air negara ketika ini masih belum cekap sepenuhnya sehingga kadang-kadang terpaksa membuat catuan bekalan air. Apakah kita mempunyai inisiatif dan alternatif untuk meningkatkan kecekapan sistem pengurusan air sedia ada?

Mohd Ridhuan: Satu Kajian Sumber Air Negara dijalankan kerajaan pada tahun 2000 untuk memenuhi semua jenis permintaan bekalan air bagi Semenanjung Malaysia. Kajian itu dikaji semula pada tahun 2011. Di dalam kajian itu, empangan dicadang dibina untuk memenuhi sumber air mentah bagi pelbagai tujuan seperti pertanian, domestik, industri, perladangan dan lain-lain aktiviti sehingga tahun 2050. Selain itu, pembinaan infrastruktur bekalan air tambahan seperti LRA dan meningkatkan mutu sistem agihan bagi tujuan untuk merawat dan mengagihkan bekalan air terawat kepada semua pengguna turut dicadangkan. SPAN menjangkakan jika segala perancangan seperti diperoleh menerusi hasil kajian itu dilaksanakan, bekalan air kepada pengguna akan mencukupi pada masa hadapan.

KETUA Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail. - Foto Zulaikha Zainuzman
KETUA Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail. - Foto Zulaikha Zainuzman

S: Salah satu langkah yang katakan berkesan untuk mendidik pengguna untuk berjimat menggunakan air adalah dengan menaikkan kadar tarif. Ketika ini ada negeri sudah menaikkan tarif dan ada yang mengekalkan kadarnya. Apa pandangan SPAN berhubung perkara ini?

Mohd Ridhuan: SPAN memang sedar tarif air adalah faktor utama yang dapat mendidik pengguna untuk berjimat menggunakan air. Bagi jangka masa panjang, SPAN memang berhasrat supaya tarif air yang dikenakan syarikat operator air dapat mencerminkan harga dengan nilai sebenar air yang dibekalkan. Pengurusan air di dalam negara ini memerlukan kewangan yang tinggi kerana sumber air perlu dibangunkan, air mentah perlu dirawat dan air dirawat pula perlu diagihkan kepada pengguna. Memang SPAN berharap dengan cara itu (penyelarasan semula tarif air) pengguna dapat menghargai nilai air dan lebih berhemah dalam penggunaannya. Mengikut Akta 655, kelulusan untuk menyemak semula kadar tarif air hanya boleh dilakukan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air atas syor SPAN. Sehubungan itu, beberapa negeri sudah menyelaraskan tarif air mereka. SPAN akan mengkaji sesuatu permohonan pelarasan tarif daripada negeri. Namun, perkara ini perlu mengambil kira pelbagai impak khususnya kepada pengguna serta keberkesanan operator air sebelum cadangan lanjut dapat dikemukakan.

S: Dapat dilihat yang pergantungan terhadap air terawat yang dibekalkan operator air amat tinggi dalam kalangan pengguna hari ini. Apakah kita tidak mempunyai sumber lain yang boleh dijadikan alternatif untuk dibekalkan kepada pengguna sekiranya berlaku krisis bekalan air?

Mohd Ridhuan: Alternatif yang dimaksudkan adalah sumber air mentah bukannya air terawat. Selain air mentah yang diperoleh dari sungai dan empangan, lain-lain sumber alternatif ialah air kolam dan air bawah tanah. Negeri Selangor sedang mengambil air kolam di sekitar Bestari Jaya sebagai sumber alternatif untuk memastikan sumber air terus mencukupi di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Air bawah tanah belum diterokai sepenuhnya tetapi digunakan secara meluas negeri lain, kecuali Kelantan. Bagaimanapun, kewujudan air bawah tanah bergantung kepada geologi sesuatu kawasan. Namun demikian, perkara asas yang perlu diketahui semua pihak ialah tanggung jawab untuk menyediakan dan memastikan sumber air sentiasa cukup adalah terletak kepada tanggungjawab kerajaan negeri.

Berita Harian X