Isnin, 16 Februari 2015 | 12:44pm

Pekin Ibrahim berlakon jadi wanita

[email protected]

Instagram milik Pekin Ibrahim.
Instagram milik Pekin Ibrahim.

HAMPIR 18 tahun menjadi pelakon, baru kini Pekin Ibrahim terpaksa menggalas watak yang tidak pernah dilakonkannya sebelum ini iaitu menjadi perempuan.

Itulah yang ditempuh pelakon, Pekin Ibrahim, 32, menerusi aksi terbaharunya dalam filem Coverina arahan Khalid Nazri, iaitu adik kepada pengarah dan pelakon, Ahmad Idham.

Menerusi Coverina, Pekin membawa watak Kamelia, gadis yang bersopan santun, tetapi sebenarnya gadis itu adalah lelaki yang bernama Kamal Ali.

"Dalam filem ini, saya bukan jadi mak nyah atau pondan, tetapi perlu berpakaian wanita dan menjadi seorang gadis. Semuanya bermula selepas watak Kamal Ali pergi meminta kerja di sebuah kedai motosikal yang dimiliki bos wanita lakonan Siti Elizad.

"Kerana salah nama dari Kamal Ali tertukar jadi Kamelia, maka bermulalah perjalanan Kamal menjadi wanita. Nak tahu lanjut kenalah tengok filem ini nanti. Pada masa sama, Kamal memang meminati bosnya itu.

"Maka, terjebaklah Kamal untuk menyelami jiwa wanita dengan menyamar sebagai golongan hawa. Kalau nak tengok Pekin menyamar jadi wanita bawa superbike, kenalah tengok cerita bergenre komedi ini bertajuk Coverina," kata Pekin mengenai filem yang akan ditayangkan di pawagam mulai 19 Februari.

Mula berlakon sejak tahun 1996 dan hingga kini, Pekin sudah berpeluang menggalas banyak watak. Bahkan watak mak nyah pernah dilakonkannya, tetapi watak perempuan menyaksikan kali pertama beliau menempuh cabaran baharu itu terutama dari segi lenggok gerak geri dan elemen feminin yang perlu dititikberatkan sebagai Kamelia.

Menghubunginya Rabu lalu, Pekin memberitahu, untuk aksi lakonannya dalam filem itu bagi memenuhi watak Kamelia, sudah tentu beliau perlu berpakaian wanita demi menjayakan watak berkenaan secara berkesan. Menerusi filem itu juga, Pekin turut bertindak sebagai penerbit bersama.

Sebelum ini, Pekin antara pelakon yang kerap membintangi karya sutradara Mamat Khalid, tetapi beliau juga cukup bertuah kerana pernah bekerjasama dengan pengarah lain seperti Dain Said, Along Kamaruddin, Raja Mukhriz dan Prof Datuk A Razak Mohaideen.

Kata Pekin, watak wanita yang dibawanya itu secara visual penonton akan mengetahui beliau memang lelaki yang menyamar sebagai wanita, tetapi berjaya mengaburi mata watak bos beliau dalam filem berkenaan.

"Cerita ini memang lawak dan banyak unsur jenaka. Saya sendiri tak sabar nak melihat hasilnya," katanya yang turut mengisi masa terluang dengan menjadi pengajar di kelas lakonan anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sejak beberapa tahun lalu.

Berita Harian X