Sabtu, 19 Disember 2015 | 2:14am

Star Wars kutip lebih RM500j dalam 2 hari

ORANG ramai lengkap dengan kostum stormtroopers berjalan di karpet merah pada tayangan hari pertama filem "Star Wars: The Force Awakens" di London. - Foto AP
ORANG ramai lengkap dengan kostum stormtroopers berjalan di karpet merah pada tayangan hari pertama filem "Star Wars: The Force Awakens" di London. - Foto AP

LOS ANGELES: Filem "Star Wars: The Force Awakens" meraih rekod kutipan AS$57 juta (RM244.30 juta) untuk tayangan hari pertama di Amerika Syarikat dan Kanada, malam kelmarin.

Ia sekali gus melonjakkan jualan tiket global filem itu kepada hampir AS$130 juta (RM557.17 juta) hanya dalam dua hari, menurut Walt Disney semalam.

"Force Awakens" mengatasi rekod hari pembukaan sebanyak AS$43.5 juta (RM186.44 juta) yang dicatatkan filem "Harry Potter" pada 2011.

Filem "Star Wars" baharu itu adalah yang pertama dalam sedekad dan siri ke tujuh ciptaan George Lucas.

Disney membeli pengeluar filem "Star Wars", Lucasfilm pada harga AS$ 4bilion (RM17.14 bilion) pada 2012.

Sebanyak 47 peratus jualan tiket domestik Khamis lalu membabitkan tiket 3D, kata Disney.

"Force Awakens" ditayangkan di 12 negara pada Rabu lalu dan kemudian ditayangkan di 32 negara lain pada Khamis.

Jualan antarabangsa mencecah AS$72.7 juta (RM311.59 juta) setakat Khamis, kata Disney.

Peramal jualan box office berkata, jualan hujung minggu "Force Awakens" mungkin mengatasi rekod filem "Jurassic World" dengan kutipan AS$208.8 juta (RM894.91 juta). - REUTERS

Berita Harian X