Selasa, 11 Oktober 2016 | 2:50pm

Lebih 15,000 peminat tonton filem Munafik di Indonesia

SYAMSUL bersama pelakon utama Munafik, Nabila Huda. - Foto Saifullizan Tamadi
SYAMSUL bersama pelakon utama Munafik, Nabila Huda. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Selepas lima hari ditayangkan, filem arahan Syamsul Yusof, Munafik mula menarik perhatian peminat di Indonesia.

Mula dipertontonkan di 30 pawagam di seluruh republik itu sejak 5 Oktober lalu, maklum balas positif diperoleh terutama dalam aspek jualan tiket filem pecah panggung itu di Malaysia itu.

Penerbit Munafik, Datuk Yusof Haslam, berkata filem berkenaan diberi tempoh tayangan dua minggu dan prospek jualan tiket semakin baik.

"Situasi sama berlaku pada tayangan minggu pertama filem Munafik di Malaysia hinggalah ia mencatat rekod jualan tiket RM17 juta.

"Saya diberitahu filem Munafik mendapat sambutan sederhana di Indonesia. Tetapi maklum balas positif diterima dengan filem terbabit mula menjadi buah mulut peminat.

"Mungkin pihak pawagam merasakan Munafik boleh pergi lebih jauh dan tidak teragak-agak mengekalkan tempoh dua minggu bagi memberi peluang kepada peminat menontonnya," katanya kepada BH Online.

Yusof berkata, kaedah mengukur sambutan filem di Indonesia adalah berbeza iaitu berpandukan jumlah penonton.

"Dalam tempoh lima hari, Munafik mencatat lebih 15,000 penonton. Jumlah penonton lebih ramai pada hari Isnin berbanding hari cuti.

"Biasanya aliran ini berlaku kesan daripada promosi 'mulut ke mulut'. Saya mengharapkan kutipan Munafik terus meningkat hingga minggu kedua," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yusof berkata Skop Productions Sdn Bhd dan syarikat pengedaran di Indonesia, MD Pictures, akan bekerjasama lagi untuk sebuah lagi filem iaitu Desolasi arahan Syafiq

Yusof berkongsi kegembiraan apabila trailer filem Desolasi ditonton lebih 7,000 pengunjung sejak mula disiarkan di laman YouTube.

Filem terbitan bersama Skop Production Sdn Bhd dan Viper Studio Sdn Bhd milik Syafiq, akan ditayangkan di Malaysia pada 8 Disember depan.

Berita Harian X