Ahad, 11 Disember 2016 | 5:47pm

Jenazah Zakaria Yusuf selamat dikebumikan

RAKAN artis menziarahi jenazah Zakaria Yusof di Surau Taman Permata, Ulu Klang. - Foto Saifullizan Tamadi
RAKAN artis menziarahi jenazah Zakaria Yusof di Surau Taman Permata, Ulu Klang. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Cinta terhadap dunia seni tidak pernah padam dalam jiwa pelakon veteran, Allahyarham Zakaria Yusuf, 65, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, pada jam 6.45 pagi tadi.

Namun, ketika hayatnya, Allahyarham yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru selain komplikasi buah pinggang, terpaksa mengurangkan aktiviti lakonan kerana faktor kesihatan.

Perkara itu dikongsi anak ketiganya, Norsabarin Fariz Zakaria, 33, yang bercerita mengenai komitmen Allahyarham sepanjang bergelar anak seni.

Memberitahu BH Online, Norsabarin berkata, kali terakhir, arwah sempat membintangi drama arahan Zul Huzaimy berjudul Mengapaku Diseksa yang melayakkannya menerima trofi Penampilan Khas Terbaik pada Anugerah Tribute P Ramlee, tahun lalu.

"Sebenarnya, cinta arwah terhadap lakonan memang menebal. Tetapi disebabkan faktor kesihatan, pelawaan daripada sebuah syarikat penerbitan terpaksa ditolak, baru-baru ini.

"Lagipun selepas pencen, ayah banyak menghabiskan masa di kampungnya di Perlis. Kebiasaannya, jika perlu menjalani pemeriksaan susulan, ayah akan berada di Kuala Lumpur," katanya.

Allahyarham meninggalkan isteri, Fatimah Ahmad, 65, serta tiga anak termasuk Norfazli, 40; Norfazlina, 36; Norfazamin, 31, dan lima cucu.

Sementara itu, lebih 100 orang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang selamat dikebumikan selepas solat zuhur di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat, di sini.

Antara teman seperjuangan yang turut memberikan penghormatan terakhir adalah Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zack Kool selain Rahim Jailani, Mubarak Majid dan Zulkifli Ismail.

Sementara itu, Zack, yang mengenali arwah sejak sama-sama bekerja di DBKL mengakui Zakaria berwajah garang. Namun, hakikatnya, arwah penuh dengan sifat humor.

"Saya mengenali arwah sejak zaman bekerja kira-kira 30 tahun lalu. Walaupun berbeza jabatan, hubungan kami akrab. Arwah wajah saja garang, tetapi suka melawak. Paling saya tidak lupa adalah sikapnya yang rajin membantu kawan selain fokus ketika berada di set penggambaran," katanya.

Sejak menyertai dunia lakonan pada era 1980-an, Allahyarham yang turut dikenali dengan nama Zakaria Cina, cukup sinonim dengan watak antagonis.

Bukan hanya puluhan drama, bintang filem Mekanik itu juga aktif dalam pementasan teater dan bangsawan.

Berita Harian X