Rabu, 22 Februari 2017 | 12:13pm

Catriona tak sangka kisah berat badan jadi viral

PENAMPILAN terkini Catriona Ross jadi tular.
PENAMPILAN terkini Catriona Ross jadi tular.

KUALA LUMPUR: Kisah berat badannya menyusut 17 kilogram (kg) dalam tempoh lima bulan membawa pelakon berdarah campuran, Catriona Ross, 36, kembali ke pentas sensasi dunia hiburan.

Ibu tiga anak ini tidak menyangka berita yang disiarkan beberapa portal hiburan mengenai penampilan terbarunya itu mengundang perhatian ramai, biarpun sudah lama menyepi daripada aktiviti seni.

"Saya tak sangka berita ini menjadi viral. Namun, di sebalik perhatian diberi, saya ada satu harapan yang ingin dikongsi atas apa yang saya usahakan selama ini.

"Saya harap perkongsian mengenai teknik menurunkan berat badan dengan amalan diet dan aktiviti kecergasan akan memberi manfaat.

GAMBAR Catriona Ross ketika berisi.
GAMBAR Catriona Ross ketika berisi.

"Anda yang mahu sihat dan tubuh yang kurus perlu sentiasa percaya kepada diri sendiri," katanya kepada BH Online.

Catriona atau mesra disapa Cat berpesan, jika mahu mengurangkan berat badan, elakkan diri berlapar sebaliknya lakukan secara sihat dan semula jadi.

"Semoga yang mahu jadi macam saya akan maju jaya. Buat carian melalui Google dan kajilah apa keburukan diet Atkins.

"Jangan ikut cara diet tanpa membuat penyelidikan rapi," katanya.

Catriona berkata, berat badannya sekarang 58kg berbanding 75kg sebelum ini.

Berkongsi tip mengurangkan berat badan, Catriona mengamalkan lima aktiviti utama iaitu mendaki gunung, berenang, mengamalkan diet 'eat clean', mengambil makanan kukus dan memakan nasi beras perang.

"Aktiviti mendaki gunung menjadi kegemaran. Saya mahu menurunkan berat badan secara cepat, jadi saya perlu lakukan senaman ekstrem.

"Saya mendaki hampir setiap minggu untuk mengeluarkan peluh yang banyak," katanya.

Berita Harian X