Rabu, 2 September 2015 | 3:04pm

Penggodam curi akaun Apple guna iPhone jail-break

PENGGODAM sudah mencuri lebih 225,000 Akaun Apple pengguna iPhone 'jail-brake' dan menggunakannya untuk membeli aplikasi.
PENGGODAM sudah mencuri lebih 225,000 Akaun Apple pengguna iPhone 'jail-brake' dan menggunakannya untuk membeli aplikasi.

SAN FRANCISCO: Penggodam sudah mencuri lebih 225,000 Akaun Apple pengguna iPhone 'jail-break' dan menggunakannya untuk membeli aplikasi, kata penyelidik.

Jail-break adalah takrifan kepada ubah suai sehingga membolehkan peranti iPhone beroperasi menggunakan aplikasi yang tidak diluluskan Apple.

"Kami yakin ini adalah kes kecurian akaun Apple terbesar yang disebabkan perisian hasad," kata firma keselamatan komputer, Palo Alto Networks dalam kiriman terbaru di blognya.

Mengikut Palo Alto Networks, serangan menggunakan kod jahat 'KeyRaider' ditemui WeipTech, kumpulan teknikal amatur daripada Weiphone, yang dianggap sebagai laman sesawang peminat Apple terbesar di China.

Pada Julai, ahli WeipTech mula menyiasat laporan beberapa akaun Apple digunakan membuat pembelian atau muat turun aplikasi tidak sah.

WeipTech bekerjasama dengan Palo Alto untuk membongkar mengenai KeyRaider.

KeyRaider disebarkan menerusi arkib Cydia di China tetapi mungkin turut memberi kesan kepada pengguna di 18 negara termasuk Perancis, Australia dan Amerika Syarikat, kata Palo Alto Networks.

Arkib Cydia adalah lokasi di mana perisian bagi iPhone jail-break ditemui dan dimuat turun.

Ketika menyiasat KeyRaider, WeipTech menemui pelayan online dengan kata laluan dan maklumat lain daripada lebih 225,000 akaun Apple.

Kod jahat itu mencuri maklumat akaun Apple dengan memintas trafik iTunes dan data pembelian di AppStore. Ia juga boleh digunakan untuk menghalang pengguna daripada membuka iPhone dan iPad.

Dalam pada seorang pegawai Apple berkata, masalah itu hanya berlaku kepada peranti iPhone jail-break atau mereka yang menggunakan perisian hasad daripada sumber yang tidak boleh dipercayai. - AFP

Berita Harian X