Rabu, 2 Ogos 2017 | 12:01am
VIDA bakal reka beg tangan jenama sendiri. - Foto Nurul Shafina Jemenon
VIDA bakal reka beg tangan jenama sendiri. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Dr Vida runding hasilkan beg tangan jenama sendiri

MINATNYA yang mendalam mengumpul puluhan set beg tangan mewah pelbagai jenama, saiz dan warna, mencetuskan idea kepada jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr Vida untuk menghasilkan jenama sendiri.

Dr Vida berkata, bagi merealisasikan impiannya itu, beliau sering mengunjungi pemilik butik Louis Vuitton (LV) di Paris sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi mengadakan perbincangan.

"Ini termasuk untuk bekerjasama dengan LV bagi mengeluarkan beg tangan label sendiri. Saya sendiri akan menghasilkan rekaan beg tangan edisi terhad LV itu.

"Cadangan awal jenamanya ialah Datuk Seri Vida Louis Vuitton (DSV LV) dan perbincangan lanjut mengenainya akan menyusul tidak lama lagi.

"Sebagai permulaan, ia direka khusus untuk pasaran Asia Tenggara saja," katanya dalam pertemuan eksklusif bersama BH di Istana Datuk Seri Vida di Ipoh, baru-baru ini.

VIDA mengakui obses dengan fesyen. - Foto Nurul Shafina Jemenon
VIDA mengakui obses dengan fesyen. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Ternyata bidang kecantikan dan fesyen menjadi minatnya. Menerjah di kamar tidur di kediamannya, puluhan tas tangan, kasut, baju, kaca mata, minyak wangi dan pelbagai aksesori jenama mewah, sesetengahnya koleksi edisi terhad, terhias indah bagaikan butik mewah di pusat beli-belah.

Sebaik sahaja gerobok lain dibuka, kelihatan ratusan baju, gaun, jaket, tudung pelbagai fesyen dan tiara beraneka bentuk berkilauan teratur kemas.

Beliau yang juga pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, mudah tertarik dengan beg tangan berjenama edisi terhad jenis 'sling bag' dan berkonsepkan 'bling-bling'.

Malah, beliau mengakui berasa malu untuk memakainya kerana tidak ada perhiasan 'bling-bling' pada beg berkenaan, walaupun harganya ribuan ringgit.

Antara jenama yang menjadi kegilaan beliau ialah LV, Chanel, Dior dan Miu Miu.

Selain beg tangan, pakaian jenama mewah dan aksesori lain seperti tiara turut menjadi koleksinya.

Minat mengumpul beg tangan mewah jadi cetusan idea untuk menghasilkan jenama sendiri. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Minat mengumpul beg tangan mewah jadi cetusan idea untuk menghasilkan jenama sendiri. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Menurut Dr Vida, beliau tidak keberatan untuk mendapatkan maklum balas pelanggan yang berminat mendapatkan beg edisi terhad DSV LV.

"Semua maklum balas itu akan diambil kira dan dikemukakan pihak LV dalam perbincangan apabila ke Paris nanti. Paling utama reka bentuk beg yang dihasilkan nanti mengikut signature saya, bersesuaian jenamanya.

"Harga beg ini antara RM8,000 hingga RM11,000 yang saya anggap ia mampu milik. Peminat saya yang ingin mendapatkannya boleh membuat tempahan awal," katanya.

Katanya, beliau terlalu obses dalam bidang fesyen dan tidak hairanlah setiap bulan akan ke luar negara untuk membeli beg tangan, baju atau aksesori kecantikan lain.

Katanya, hobi membeli-belah dan berfesyen adalah sebagai hadiah atas kejayaannya yang berusaha keras tanpa mengira masa bagi membina empayar perniagaan sehingga ke tahap ini.

BAKAL bekerjasama dengan Louis Vuitton untuk hasilkan label beg tangan sendiri edisi terhad. - Foto Nurul Shafina Jemenon
BAKAL bekerjasama dengan Louis Vuitton untuk hasilkan label beg tangan sendiri edisi terhad. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Beliau berkata, koleksi beg tangannya semakin bertambah, ada kalanya dibeli beg jenama yang sama dengan warna berlainan kerana tertarik akan reka bentuk uniknya.

"Sebahagian koleksi dibeli tidak pernah dipakai. Ada yang saya hadiahkan kepada saudara-mara dan rakan terdekat. Jadi tidak timbul soal membazir kerana ada antaranya saya beli untuk dijadikan hadiah," katanya.

Selain beg tangan, Dr Vida juga mempunyai koleksi tiara atau mahkota yang mula dikumpulnya sejak lebih lima tahun lalu dan kebanyakannya ditempah khas dari Hong Kong.

Lebih 10 tiara bernilai ratusan ribu ringgit disimpan di bank sebagai langkah keselamatan.

Berita Harian X