Khamis, 19 April 2018 | 10:52am

Alia optimis hasil rekaan busana

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen, Alia Bastamam memperjuangkan cara tersendiri dalam industri penataan gaya dengan mengutamakan rekaan yang pelbagai untuk memastikan golongan Hawa tampil lebih yakin, bergaya dan eksklusif.

Alia berkata, persaingan yang dilalui cukup positif meskipun industri berkenaan dimonopoli pereka fesyen lelaki.

Katanya, ketika ini lebih ramai pereka wanita muda yang mewarnai industri fesyen tanah air berbanding sebelum ini boleh dikira dengan jari sahaja.

Mereka memiliki bakat dan kekuatan tersendiri dan berani saya menyatakan, boleh bersaing dengan pereka fesyen lelaki ternama.

"Sebagai wanita seharusnya lebih arif daripada pereka lelaki mengenai potongan badan wanita.

"Saya sendiri lebih peka melihat apa yang sesuai dipakai wanita. Saya harap untuk melihat lagi ramai pereka wanita bangkit dan menguasai industri ini selain mengeluarkan rekaan yang memiliki 'global appeal'.

"Untuk meneruskan survival ini, saya kena terus fokus, tabah dan yang paling penting adalah mencari identiti tersendiri dalam menghasilkan setiap rekaan," katanya, ditemui selepas pertunjukan koleksinya sempena Aidilfitri 2018, baru-baru ini.

Beliau berkata, seseorang pereka tidak akan bergerak jauh untuk membina nama jika meniru rekaan orang atau tiada identiti tersendiri.

Mengenai harapan, Alia berharap label Alia Bastamam dan ALIA B akan terus mendapat tempat di hati pembeli di seluruh negara.

"Saya optimis setiap rekaan saya boleh digayakan oleh semua wanita. Saya mahu melihat kedua-dua label ini berkembang ke persada antarabangsa dan menembusi pasaran Saudi, Eropah, Amerika Syarikat dan mungkin lebih jauh lagi, " katanya.

Antara artis yang menggayakan rekaan beliau adalah Tiz Zaqyah, Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya, Hannah Delisha dan Nabila Huda.

Beliau bermula dengan menerima tempahan busana untuk koleksi perkahwinan, kini namanya gah dengan memiliki empat rangkaian di bawah jenamanya.

Untuk koleksi Aidilfitri tahun ini, beliau masih mengekal signatur Alia Bastamam yang menggunakan material kain lembut dan flowy, seperti sutera asli serta sutera sifon.

"Saya praktikal ketika membuat rekaan supaya selesa dengan apa yang dipakai. Saya juga minimalis dalam gaya tersendiri terutama dari segi potongan, selain memilih warna pastel dan rona terang.

"Ada rekaan jubah biru yang saya tampilkan dengan perincian butang dan kaftan toga. Gunakan sentuhan halus berseni dan effortless agar nampak glamor serta tersendiri," katanya.

15 dibaca
Berita Harian X