Jumaat, 25 Mei 2018 | 5:10pm
NOR Aina sedang menyiapkan tempahan baju raya di kedainya - Foto Ahmad Rabiul Zukifli

'Tempahan dah tutup la bang'

CHUKAI: Tiga minggu menjelang Aidilfitri, kebanyakan tukang jahit di daerah ini tidak menang tangan menyiapkan tempahan baju pelanggan untuk digayakan pada Aidilfitri nanti.

Biarpun banyak lambakan baju siap yang terjual di pasaran, keringat tukang jahit tetap menjadi pilihan penduduk di daerah ini.

Tukang jahit, Nor Aina Shazwani Mazuki, 33, dari Kampung Gong Pauh, berkata dia terpaksa menghentikan pengambilan tempahan baju raya sejak awal Ramadan lalu berikutan bimbang tidak mampu disiapkan pada waktu yang sepatutnya.

"Sebanyak 100 helai baju raya yang ditempah sejak Februari sudah disiapkan dan hanya menunggu masa untuk diambil pelanggan, manakala 60 helai lagi masih dalam proses dan dijangka disiapkan seminggu sebelum Aidilfitri.

"Saya mula menjahit sejak 2006 dan sentiasa tidak menang tangan setiap kali Ramadan kerana menyiapkan tempahan baju raya pelanggan.


NOR Aina melihat tempahan baju raya yang sudah disiapkan. - Foto Ahmad Rabiul Zukifli

"Sehingga sekarang pun, saya masih menerima pertanyaan daripada pelanggan yang berhasrat untuk menempah baju untuk dipakai Aidilfitri nanti," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan pelanggan tidak berharap, dia terpaksa meletakkan nota pemberitahuan di kedainya supaya pelanggan sedia maklum mengenai tidak lagi mengambil tempahan.

"Jika diikutkan rasa tamak, saya boleh menerima seberapa banyak tempahan pelanggan, tetapi tidak sampai hati menghampakan pelanggan jika baju yang ditempah tidak dapat disiapkan.

"Saya juga tidak mahu bekerja dalam situasi tertekan berikutan tempahan terlalu banyak.

"Jumlah tempahan sekarang sudah cukup memberi tekanan apabila pelanggan sering bertanyakan mengenai tempahan mereka," katanya.

Nor Aina Shazwani berkata, dia mula menjahit bermula jam 2 pagi hingga 10 malam setiap hari bagi memastikan semua tempahan pakaian yang diterima siap pada waktu dijanjikan.

"Saya mengambil upah RM45 hingga RM60 untuk baju kurung biasa, manakala bagi baju kurung moden berfesyen harganya bermula daripada RM60 ke atas sepasang.

"Biasanya pelanggan menempah sebanyak dua hingga lima pasang seorang," katanya.

Berita Harian X