Selasa, 19 Februari 2019 | 11:26am
MARYAM menunjukkan antara koleksi batik pada Batik Fest di MATIC, baru-baru ini.

Batik inovasi hipster pilihan anak muda

KUALA LUMPUR: Aksesori kepala dan anting-anting yang diperbuat daripada batik lukis Terengganu antara inovasi terkini pereka seni berkenaan dalam meneroka pasaran lebih luas, selain memenuhi pilihan anak muda masa kini.

Inovasi ini adalah tambahan kepada produk sedia ada, iaitu pakaian yang dihasilkan sebelum ini, bagi menambah penampilan seseorang.

Pengasas MaryamBayam, Maryam Mutalib, berkata aksesori itu sebahagian daripada nilai tambah kepada seni batik tempatan yang mempunyai keunikannya tersendiri.

Beliau berkata, lebih membanggakan penyertaan anak muda ber-upaya merancakkan industri terbabit, sekali gus menghargai seni warisan sejak zaman berzaman.

“Tanpa mengetepikan corak batik tempatan, produk sama ada pakaian atau aksesori yang dihasilkan pastinya kelihatan anggun dan menarik apabila digayakan.

Idea rekaan lebih segar

“Penyertaan anak muda membawa sekali bersama idea rekaan lebih segar menepati pilihan generasi kini yang diharap menarik perhatian penggemar fesyen tempatan dan luar negara.

“Pilihan aksesori, terutama anting-anting diilhamkan daripada seni batik lukis ini mempunyai nilai seni yang tinggi, mencerminkan identiti batik Malaysia,” katanya.


HIMPUNAN aksesori kepala sentuhan fabrik batik ilham MaryamBayam.

Maryam ditemui pada program Batik Fest 2019 di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya berbangga dengan keindahan seni batik tempatan dan ia antara cara memperkenalkan kepada golongan seusia serta pelancong luar.

Semua produk berkenaan katanya, sesuai untuk semua peringkat usia dan sebagai contoh, pengikat kepala beraneka warna ini menambah gaya wanita memakai hijab selain subang pelbagai bentuk sebagai menambah gaya.

MaryamBayam menawarkan aksesori kepala seperti pengikat rambut (headband), anting-anting dan penyepit rambut yang diperbuat beraneka warna.

Justeru, tidak hairanlah MaryamBayam menjadi antara gerai popular dan mendapat perhatian pelancong sepanjang program berlangsung.


PELBAGAI rona batik hiasan kepala MaryamBayam serlahkan gaya ranggi mencuri tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

Keunikan produk dihasilkan juga mendapat perhatian pelanggan sebaik menyertai jualan secara atas talian terkemuka di negara ini.

Himpun pelbagai usahawan

Sementara itu, Pengasas Batik Fest, Nisa Kasnoon, berkata penganjuran acara yang sudah masuk kali ketiga diadakan, termasuk di Pulau Pinang dan Langkawi, Kedah berpotensi memartabatkan batik ke taraf lebih baik dan kekal digayakan sepanjang zaman.

Katanya, batik masih relevan digayakan sesiapa saja di pelbagai majlis. Justeru, acara mempromosikan seni ini perlu diperhebatkan oleh semua pihak seperti kerajaan, usahawan dan sokongan masyarakat.

“Kita menghimpunkan pelbagai usahawan, termasuk pengusaha batik dari seluruh negara dengan matlamat menarik minat masyarakat melihat keunikan batik dalam persepsi berbeza. Kita mahu masyarakat ada ilmu berkenaan batik.

“Selama ini, ramai melihat batik sebagai khazanah lama dan untuk orang veteran. Kehadiran batik dengan nafas baharu berupaya meningkatkan jualan dan penggunaan batik di negara ini,” katanya.

Nisa berkata, Malaysia antara negara pengeluar batik yang ada identiti tersendiri. Malah, batik negara ini memiliki keunikan dari segi motif, pembuatan, idea dan hasil tangan lebih kreatif dan halus berbanding batik negara luar.

“Kita ada pelbagai pilihan batik seperti canting dan tekap. Sebelum ini, mungkin batik dipakai pada majlis kenduri, hari ini batik dijadikan pakaian santai dengan rona lebih menarik, terang dan rekaan kasual memikat selera anak muda.

“Justeru, kehadiran orang muda dalam industri batik perlu disambut dengan baik kerana mereka boleh membantu batik untuk bersaing secara sihat dalam industri busana negara,” katanya.

Info

* Batik Fest Bakal dijadikan acara tahunan kalendar pelancongan Malaysia

* Menampilkan 20 gerai jualan

* Ada produk kraf, pakaian, aksesori dan makanan

* Matlamat menghimpunkan usahawan batik dan kraf di negara ini

652 dibaca
Berita Harian X