Selasa, 19 Februari 2019 | 11:08pm
PEREKA fesyen, Alia Bastamam muncul sebagai pereka wanita pertama bekerjasama dengan syarikat minyak dan gas, Petron Malaysia menerusi rekaan jaket watak adi wira wanita terkenal, Captain Marvel. - Foto Hafiz Sohaimi

Alia terjemahkan sifat wanita perkasa dalam jaket Captain Marvel

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen tanah air, Alia Bastamam, muncul sebagai pereka wanita pertama bekerjasama dengan syarikat minyak dan gas, Petron Malaysia menerusi rekaan jaket watak adi wira wanita terkenal, Captain Marvel.

Pemenang Pereka Fesyen KL Fashion Week 2017, diberi peluang melahirkan dua rekaan jaket untuk diberikan kepada 20 pemenang bertuah yang menyertai Peraduan Captain Marvel Petron secara ekslusif.

Beliau berkata, ini adalah kerjasama pertama dengan Petron. Idea dan konsep jaket ini mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

"Antara cabaran menyiapkan jaket ini adalah bagaimana memasukkan elemen rekaan bercirikan kewanitaan dan maskulin kerana jaket ini sesuai untuk semua,” katanya menjalankan kerjasama sejak Ogos tahun lalu.

Alia berkata, dua rekaan itu juga hadir dengan pilihan warna hitam dan biru gelap. Ada dua konsep pada jaket iaitu ketenteraan dan sporty (kesukanan).

"Fabrik yang digunakan pula daripada material denim dan neoprene, sesuai digayakan dengan cuaca negara ini dan mudah dijaga," katanya.

Berkongsi kegembiraan mencipta rekaan jaket ini, Alia berkata, beliau bangga kerana kerana watak Captain Marvel ini mencerminkan sifat wanita hebat.

“Justeru rekaan ini simbolik usaha memperkasakan wanita menerusi sifat yang seharusnya ada dalam diri golongan hawa itu sendiri iaitu yakin selain bebas melangkah tanpa sekatan," katanya.

Beliau berkata, jika sebelum ini masyarakat melihat pereka fesyen sepertinya hanya memiliki sifat kewanitaan, menerusi rekaan sedemikian, beliau secara tidak langsung memperlihatkan sifat lain yang ada dalam jiwanya.

"Saya seorang yang suka mencabar diri, sedikit sebanyak watak ini memperlihatkan karakter sebenar saya," katanya yang sudah tujuh tahun pengalaman dalam bidang rekaan fesyen.

Sementara itu, Ketua Jabatan Dagangan Runcit dan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy, berkata pihaknya berbangga bekerjasama dengan pereka berbakat menerusi rekaan jaket superhero.

Ahli Petron Miles secara automatik layak membuat cabutan hebat setiap kali membelanjakan minimum RM50 bermula dari 21 Februari hingga 6 April ini di semua stesen Petron Malaysia.

Berita Harian X