Rabu, 6 March 2019 | 10:37am
Sebahagian foto songket Rajang diletakkan dalam album bagi memudahkan pelanggan membuat tempahan. - Foto Khalid Latip
Penenun Songket dari kampung rajang menunjukkan songket yang mereka hasilkan. - Foto Khalid Latip

Rajang rahsia songket Sarawak

TANJUNG MANIS: Siapa sangka sebuah kampung bernama Kampung Rajang di Belawai dekat sini mempunyai sebuah pusat tenunan songket yang beroperasi sejak 1991.

Kumpulan Tenun Songket Rajang pada mulanya hanya beroperasi di dua buah bilik darjah di Sekolah Kebangsaan Abang Galau hingga 1994 sebelum berpindah ke sebuah bengkel dan pada 2005, mereka beroperasi di Pusat Tenunan Songket di kampung itu sehingga kini.

Pengerusi pusat tenun berkenaan, Su’anah Sahaili, 63, berkata walaupun Terengganu terkenal dengan hasil tenunan songket berkualiti tinggi di negara ini, namun Songket Rajang tidak kurang hebatnya.

“Keunikan songket ini ialah kedua-dua bahagian dalam dan luar songket ini boleh digunakan. Songket Rajang dihasilkan dengan begitu teliti sehingga tiada benang yang mudah tercarik dan semua tenunannya dibuat kemas dan rapi,” katanya bersempena program kunjungan media selama enam hari anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Kayu Sarawak, baru-baru ini.


Pemilihan benang amat penting bagi menentukan kualiti songket. - Foto Khalid Latip

Pusat tenunan songket Kampung Rajang menyediakan kemudahan kepada peserta. - Foto Khalid Latip

Tidak hairanlah harga Songket Rajang ini juga mampu mencecah RM10,000 dan antara pembelinya ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud pada suatu ketika dahulu.

Songket Rajang dijual dari RM900 hingga RM10,000 mengikut corak bermotifkan keindahan alam bumi kenyalang, semakin banyak corak dan benang emas yang digunakan, semakin mahal harganya.

Beliau berkata, antara ciri istimewa lain yang terdapat pada Songket Rajang ini ialah corak dan motifnya hanya dikeluarkan berdasarkan tempahan sahaja.

“Jadi setiap pelanggan kami akan menerima corak yang terhad dan eksklusif. Mereka tidak perlu risau kerana corak songket mereka tidak akan sama dengan orang lain.

“Itu juga satu faktor Songket Rajang mengambil masa yang lama, iaitu kira-kira empat hingga enam bulan untuk disiapkan, selain menitikberatkan kualiti dalam setiap songket yang dihasilkan,” katanya.


Seorang peserta tekun melakukan tenunan. - Foto Khalid Latip

Antara songket yang dihasilkan oleh wanita Kampung Rajang. - Foto Khalid Latip

Beliau berkata, hasil tenunan songket yang memenuhi cita rasa setiap pelanggannya itu menjadikan Songket Rajang popular dalam kalangan penggemar songket dan pernah dijual ke luar negara, seperti di Australia dan New Zealand.

Dalam pada itu, menurut Su’anah yang juga generasi keempat yang masih mengamalkan tenunan songket sebagai punca rezeki, beliau melahirkan kerisauan apabila generasi muda dilihat seperti tidak berminat dengan seni tenunan songket itu.

“Kadang-kadang saya terfikir, siapa yang bakal menggantikan kami bila kami sudah tiada lagi. Anak saya pun sedang belajar di luar dan mempunyai cita-cita sendiri. Kini hanya terdapat 10 kakitangan yang agak berusia yang masih meneruskan kerja sebagai penenun songket di sini.

“Saya berharap kesenian Songket Rajang ini dipelihara sebagaimana saya dan rakan-rakan memeliharanya sejak 1991 untuk tatapan generasi akan datang kerana ini warisan dan kebudayaan yang melambangkan identiti masyarakat,” katanya. - BERNAMA

336 dibaca
Berita Harian X