Khamis, 7 March 2019 | 10:06pm

Penyelidikan, inovasi berterusan perkasa batik

SERI KEMBANGAN: Penyelidikan dan inovasi batik perlu dijalankan secara berterusan bagi memperkasakan dan melonjakkan industri kreatif itu ke tahap lebih tinggi, termasuk mampu menembusi pasaran global.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Ibrahim Ismail, berkata penyelidikan, penambahbaik dan pembangunan itu juga memastikan produk negara itu menepati cita rasa pengguna dan mencapai standard.

Katanya, pembangunan industri batik mengikut aliran semasa dapat mengangkat martabat produk berkenaan ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan harga yang berpatutan, ia sekali gus dapat menarik minat orang ramai, termasuk pelancong asing membeli batik.

“Inisiatif seperti penyelidikan dan pembangunan sentiasa dijalankan Kraftangan Malaysia. Sebelum ini fokus lebih kepada tekstil batik, kini tempatan berusaha menawarkan produk itu pada harga lebih rendah kepada pengguna bagi menyemarakkan pemakaian batik dalam kalangan masyarakat.


Nori (empat dari kiri) bersama Lela (tiga dari kanan) pada sidang media Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2019 di Seri Kembangan. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Pelbagaikan teknik

“Teknik pembuatan batik perlu dipelbagaikan dan kita menjalankan banyak kajian dari segi teknik, penggunaan pewarna supaya lebih peka kepada kehendak pengguna,” katanya pada sidang media mengenai Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2019, di Wisma Penyayang, di sini, baru-baru ini.

Yang turut, Pengerusi Kraftangan Malaysia, Suryani Senja Alias; Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Datuk Leela Mohd Ali.

Beliau berkata, setakat ini teknik popular dalam kalangan pengusaha batik adalah canting, celup, ikat dan cop.

“Justeru, kita berharap kajian dan penyelidikan berterusan dijalankan dapat menambah lagi teknik pembuatan batik sedia ada.

“Apabila ada teknik pembuatan baharu dan lebih mudah seperti ikat dan celup, harga ditawarkan kepada pembeli juga lebih berpatutan.

“Batik canting memerlukan ketelitian teknik dan memakan masa lama untuk disiapkan, jadi disebabkan itu harganya lebih mahal,” katanya.

Suryani berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedang mengkaji mengenai cadangan menggalakkan pekerja sektor swasta memakai batik sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk menyemarakkan industri batik negara.

“Ia sebagai usaha untuk membudayakan batik dalam kalangan masyarakat selain menonjolkan semangat patriotik terhadap khazanah negara,” katanya membacakan teks ucapan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.


Koleksi himpunan pemenang Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon tahun lalu dipamerkan. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Platform bakat baharu

Sementara itu, Leela berkata, pertandingan pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2019 anjuran Penyayang bagi edisi ke-16 ini menyasarkan 110 penyertaan daripada pelbagai pihak.

Pertandingan akhir itu yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 8 September ini menyediakan tiga kategori iaitu fesyen, kemasan lembut dan kraftangan.

Katanya, sasaran itu diharapkan dapat menambahkan bilangan bakat baharu dalam industri batik negara khususnya dalam kalangan wanita.

“Pertandingan ini adalah platform sokongan kepada bakat baharu dan galakan kepada industri batik dan diharapkan menjadi pemangkin berterusan kepada sokongan terhadap industri batik negara,” katanya.

83 dibaca
Berita Harian X