Khamis, 4 April 2019 | 12:43pm
ANTARA busana muslimah yang diperagakan sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 di MITEC. - Foto Zunnur Al Shafiq

30 busana muslimah diperaga di MITEC

KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 busana muslimah karya 30 pereka fesyen bernaung di bawah Persatuan Pereka Fesyen Bumiputra (BDA) dipertontonkan sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019, bermula kelmarin di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Presiden BDA, Bon Zainal berkata, pertunjukan fesyen bertemakan Modest Fashion itu adalah kerjasama julung kali antara BDA dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Katanya, segmen itu menjadi platform terbaik pereka fesyen tempatan meluaskan pasaran dan berpeluang melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa menerusi pameran makanan halal terbesar dunia.

“Segmen yang menampilkan koleksi pakaian Muslimah dan sopan itu diwujudkan berikutan industri pakaian juga sebahagian daripada industri perniagaan halal yang boleh merancakkan lagi ekonomi negara.

“Hakikatnya, makanan dan pakaian adalah keperluan hakiki yang mana kedua-duanya tidak akan pupus sebaliknya akan terus bergerak dari masa ke semasa,” katanya kepada BH Online.


ANTARA busana muslimah yang diperagakan sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 di MITEC. - Foto Zunnur Al Shafiq

MIHAS yang diadakan sehingga Sabtu ini, mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya mengumpulkan peserta pameran dan pelawat perdagangan dari lebih 70 negara termasuk Filipina, Korea Selatan, Jepun, Perancis, Turki dan Arab Saudi.

Antara pereka fesyen menyertai pertunjukan fesyen itu ialah Sharifah Kirana, Adamaya, Amelia Hassa, Salikin Sidek, Jarumas, Aini Bakker, Zaahara, Fidz Couture dan Masrina Abdullah.

Bon berkata, BDA menampilkan koleksi berkonsep fesyen santun untuk sasaran antarabangsa seiring dengan produk halal yang diketengahkan.

“Kita mahu memberi fokus kepada pasaran luar negara, selain memberi peluang pelabur luar negara menyaksikan sendiri fesyen santun yang memiliki diversiti yang kuat.

“Kecantikan fesyen santun ini merangkumi pelbagai elemen dengan rekaan kreatif dan inovasi tanpa perlu mendedahkan aurat,” katanya.

Beliau yang sudah lebih 30 tahun dalam industri fesyen berkata, pereka fesyen yang berjaya menembusi pasaran luar perlu mencabar minda dan kreativiti menghasilkan koleksi lebih menarik.

“Pereka tidak perlu bimbang jika rekaan dikritik. Baik atau buruk ia menunjukkan perkembangan positif dalam penjenamaan dan perniagaan.

“Mereka tidak perlu bimbang rekaan dihasilkan diciplak dan ditiru kerana ia menunjukkan rekaan itu bagus. Pereka fesyen yang kreatif perlu terus menghasilkan rekaan yang bernafas baru. Lama-lama si peniru akan penat," katanya.


PRESIDEN BDA, Bon Zainal. - Foto Mahzir Mat Isa

Berita Harian X