Isnin, 27 Mei 2019 | 9:38pm

Tudung RM50,000 bertatah kristal Swarovski

KUALA LUMPUR: Tudung termahal di dunia yang ditempah Februari lalu bakal menjadi penyeri gaya Aidilfitri seorang ahli perniagaan wanita yang membelinya pada harga RM50,000.

Tudung bawal berwarna hitam bertatahkan kristal mewah Swarovski dibeli pelanggan dari butik ByQiss by Bawal Exclusive di Kuantan, Pahang yang tertarik dengan nilai eksklusif syarikat hijab mewah tempatan, Bawal Exclusive (BE).

Pengasas BE, Haliza Maysuri, 42, berkata tempahan paling mahal setakat ini berbanding rekod jualan bernilai RM33,000 tudung keluaran syarikatnya pada tahun lalu.

"Tudung ini menggunakan lebih 10 warna kristal mewah yang dibuat sepenuhnya sekumpulan pereka Swarovski dari Austria direka berteraskan rekaan dan personaliti pelanggan.

"Ilham fantasi wujudnya kuntuman bunga mekar di padang pasir Sahara, menterjemahkan kegigihan pemiliknya yang berusia 35 tahun. Pemilik seorang ahli perniagaan perusahaan berasaskan minyak dan gas. Tempahan hanya dilihatnya selepas siap dan diterbangkan ke negara ini," katanya.


Tudung bawal berwarna hitam bertatahkan kristal mewah Swarovski bernilai RM50,000. - NSTP/Amirudin Sahib

Beliau berkata demikian pada sidang media penyerahan tudung pelanggannya kepada pemilik butik. Sesi penyerahan disaksikan Pengarah Jualan Swarovski Professional Malaysia, Zoe Teo dan Pemilik Butik Byqiss by Bawal Exclusive, Datin Hamizan Puteh.

Haliza berkata, kebiasaan tudung diperbuat daripada fabrik voile dari Jepun direka mengikut rekaan dan personaliti pelanggan bermula tempahan hingga sentuhan akhir hijab. Urusan dikendalikan menerusi panggilan video dengan pereka negara terbabit.

"Harga RM50,000 termasuk kos pereka profesional dan logistik dari Austria. Nilai berpadanan kerana BE boleh diwarisi dari generasi ke generasi.

“Bagi tempahan seterusnya BE adalah dari Lahad Datu, Sabah yang dijangka bernilai RM65,000. Tempahan kini masih peringkat perbincangan mengenai perincian dan corak rekaan," katanya.

BE mempunyai 10 butik fizikal dan 35 wakil ejen jualan di seluruh negara.

7563 dibaca
Haliza menunjukkan tudung bawal berwarna hitam bertatahkan kristal mewah Swarovski bernilai RM50,000. - NSTP/Amirudin Sahib
Berita Harian X