Ahad, 28 Julai 2019 | 10:00am

Tunku Azizah gemar berbaju kurung

KUALA LUMPUR: Gaya berpakaian nenda dan bonda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang memakai baju kurung setiap hari memberikan refleksi kepada baginda dalam berfesyen.

Sejak kecil baginda sering melihat penampilan kedua-dua figura itu sentiasa kemas dan anggun berbaju kurung.

Lantas baju kurung menjadi busana selesa yang disarung baginda setiap hari ke mana-mana sahaja termasuk keluar membeli-belah atau melawat kampung, selain semestinya ketika menghadiri majlis rasmi.


YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

“Saya lebih suka pakai baju kurung. Malah, bonda saya juga hari-hari pakai baju kurung. Jadi saya pun ikut jejak bonda yang sentiasa nampak anggun apabila berbaju kurung.

“Baju kurung asli kain kapas saya pakai setiap hari termasuk keluar membeli-belah. Saya orang Melayu dan orang Malaysia. Jadi, saya bangga memakai baju kurung kerana datuk moyang saya buat baju kurung sebagai baju kebangsaan Johor.

“Saya lihat setiap hari nenda memakai baju kurung dengan rambut bersiput kemas, tampak anggun. Kita mesti pakai ikut kesesuaian usia. Bonda selalu ingatkan saya, jika kita berada dalam sesuatu kedudukan, kod pakaian tidak boleh sebarangan,” titahnya.

Baginda berpendapat, baju kurung paling selamat, bukan sahaja sesuai untuk menghadiri majlis rasmi, malah ketika melawat kampung.

“Saya pakai baju kurung tenun Pahang Diraja bagi menghadiri majlis rasmi. Saya tidak pakai persalinan lain kerana jika ingin menjadi ‘champion’ sudah pasti kita mahu ia menjadikan realiti.

“Istana mempunyai peranan menghidupkan pakaian Melayu dan kita boleh mempengaruhi orang untuk mencintainya,” titahnya yang turut gembira apabila semua puteri-puteri juga gemar memakai baju kurung, selain pakai kasual lain.

Mereka juga tahu memilih pakaian, aksesori, kasut dan baju yang sesuai untuk tampak lebih anggun.

“Saya ada empat anak lelaki yang tegas dengan adik perempuannya. Pernah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menelefon dari London bertanya mengapa, adindanya yang memakai pakaian joging ketika menghadiri acara sukan dan saya memakai baju kurung,” titahnya.


Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah membantu sukarelawan memasak hidangan makan malam di pusat pemindahan banjir di SK Sinar Mutiara, Pekan, Pahang. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Didikan Allahyarham Ayahanda garang, tegas dan tidak membenarkan memakai gaun atau baju tidak berlengan.

Ketika ini, baginda bertitah ketika ini sukar mencari tukang jahit yang bagus menghasilkan baju kurung disembat dan dijahit tikam yang kemas dan halus.

Sementara itu, baginda mencadangkan baju kurung dijadikan baju kebangsaan negara dan digayakan oleh pelbagai kaum.

Tunku Azizah menegaskan Indonesia terkenal dengan identiti berbaju kebaya manakala Jepun, Thailand dan Korea masing-masing juga ada busana kebangsaan.

“Jepun sebuah negara maju tetapi terus mengekalkan Kimono sebagai kebanggaan warisan budaya busananya.

“Jadi baju kurung sesuai digayakan oleh kaum lain dan sepatutnya menjadi baju kebangsaan.” titahnya yang memilih pereka fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim menyediakan 18 persalinan termasuk enam baju kurung dipakai Tunku Azizah sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, 30 Julai ini.

1304 dibaca
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melihat hasil jahitan kreatif ketika Majlis Penutup Program Entreperneur's Sewing Week serta Pelancaran 2018-Tahun Memperkasakan Wanita (4K) di One City. - NSTP/Saddam Yusoff
Berita Harian X