Jumaat, 4 Oktober 2019 | 3:42pm
NK Fashion Week di London. NSTP/EMAIL

Model `istimewa' penyeri sesi peragaan fesyen Norish Kareem

KUALA LUMPUR: Golongan kurang upaya yang sering dikaitkan dengan kekurangan, sebenarnya mampu bersaing jika diberi peluang beraksi dalam apa juga bidang pengkhususan.

Menyedari keunikan golongan istimewa, pereka fesyen terkemuka Norish Kareem (NK), membuat kejutan menerusi menampilkan wanita sindrom down, Madeline Stuart.

Stuart diberi mandat memperagakan fesyen pada sesi peragaan NK Fashion Show (NKFS), berlangsung di London, United Kingdom (UK), baru-baru ini.

Pengasas NKLFS, Norish Kareem berkata, penampilan model unik membuktikan kelainan setiap individu itu perlu diketengahkan dan peluang diberikan sama rata.

PEREKA fesyen, Lila Ruzaini, model, Madeleine Stuart, Norish Kareem dan Datuk Emma Ibrahim. NSTP/Email.

NK Fashion Week di London. NSTP/EMAIL

NK Fashion Week di London. NSTP/EMAIL

NK Fashion Week di London. NSTP/EMAIL

Penampilan khas itu kata beliau sebagai mesej kepada masyarakat bahawa peragawati tidak hanya terbatas untuk wanita sempurna, tinggi lampai, bertubuh langsing yang sering dianggap anggun.

“Kecantikan wanita datang dalam pelbagai keadaan termasuk membabitkan individu OKU yang memiliki daya menarik dan keunikan tersendiri.

“Justeru golongan ini tidak seharusnya dipinggirkan dalam apa juga bidang pekerjaan termasuk dunia fesyen kerana mereka mampu pergi lebih jauh sekiranya diberi peluang,” katanya ketika dihubungi BH, baru-baru ini.

Stuart, 22, peragawati OKU pertama dunia menjadi tumpuan majalah popular di UK, malah sudah terbabit dalam banyak pertunjukan fesyen antarabangsa.

Wanita kelahiran Australia itu pernah memenangi Anugerah Pencapaian Inspirasi daripada Runway of Dream di New York.

Pada majlis NKLFW, Stuart tampil cantik dengan menyarung busana rekaan Norish Kareem Couture (NKC), Norish Kareem x Lang Batek, Lila Majnun dan Taylor dari Amerika Syarikat.

Yang turut hadir menyaksikan pertunjukan fesyen berkenaan iaitu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Datuk Muhammad Sadik Kethergany dan Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) UK, Megat Iskandar Ahmad Dassilah.

Wanita Melayu pertama

Norish adalah wanita Melayu pertama mengambil inisiatif menganjurkan pertunjukan fesyen di London dan pereka fesyen kedua membuka butik menerusi jenama NK Couture (NKC) di kota London selepas Datuk Tom Abang Saufi.

Beliau berkata, objektif penganjuran bertujuan memperkasakan wanita dalam arena fesyen kerana yakin keupayaan mereka mampu pergi jauh dalam bidang berkenaan sekiranya berusaha keras dan yakin terhadap jenama yang dibawa.

“Selain itu, saya begitu menggalakkan pereka tempatan melangkah maju dengan mempersembahkan rekaan untuk tatapan pencinta fesyen seluruh dunia.

NK Fashion Week di London. NSTP/EMAIL

NK Fashion Week di London. NSTP/EMAIL

NK Fashion Week di London. NSTP/EMAIL

“Saya memberi panduan serta khidmat rundingan untuk mereka mendapat ilmu bertujuan meneroka pasaran antarabangsa. Walaupun mengutamakan pereka Malaysia tetapi saya turut menyediakan khidmat sama kepada peserta industri dari luar negara,” katanya.

Sementara itu, usaha mengetengahkan keunikan seni batik dalam rekaan moden, Norish Kareem Couture (NKC) menjalin kerjasama pintar dengan pereka batik terkenal, Lang Batek.

Norish berkata, koleksi berkenaan menampilkan rekaan batik lukis tangan yang dicetak di atas tekstil sutera yang diterbangkan khas dari Langkawi.

Batik lukis unik

“Antara potongan serta rekaan sentuhan saya seperti gaun, seluar dan blaus dihasilkan bagi menepati rekaan serta selera fesyen penduduk UK yang berani mencuba sentuhan pereka luar.

“Apa yang penting kita mahu mengangkat keindahan fabrik batik dari Malaysia yang tidak ketinggalan menggunakan teknologi terkini untuk paparan antarabangsa. Ini sumbangan saya dalam mengetengahkan fabrik tempatan kepada dunia,” katanya.

Kesibukan menyiapkan tugasan pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PHD) tidak menghalang Norish menganjurkan program berkenaan.

“Puas hati apabila NKLFW mendapat sambutan membanggakan dengan dihadiri 90 peratus tetamu antarabangsa. Bukan mudah hendak meyakinkan tetamu luar hadir menyaksikan acara anak tempatan.

“NKFW merancang menganjurkan program sama di Pulau Langkawi, Doha di Qatar tahun depan,” katanya.

Berita Harian X