Khamis, 5 Oktober 2017 | 11:50am

Barah payudara tak kenal usia


JURURAWAT Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia memberi penerangan pada majlis kecantikan dan kesihatan, Turn Up Pink anjuran pusat kecantikan, 176 Avenue, Bangsar, semalam. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Wanita berusia 20-an dikenal pasti berisiko menghidap kanser payudara.

Ahli komuniti Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Silvia Lee, berkata sebelum ini, hanya wanita berusia 40-an lebih berisiko mendapat penyakit paling digerun.

Katanya, dahulu wanita berusia 35 tahun ke atas disaran menjalani pemeriksaan payudara manakala 40 tahun ke atas membuat imbasan mamogram bagi mengesan kemungkinan berisiko mendapat kanser payudara.

Bagaimanapun, ada kes wanita muda berusia 20-an dan 30-an, dikesan menghidapinya.

"Ia bagaikan jam penggera untuk wanita supaya lebih agresif melakukan pengesanan awal kanser payudara.

" Dahulu kita dimomokkan usia tua atau selepas menopaus lebih mudah mendapat kanser payudara, tetapi kini tidak lagi.

" Wanita muda juga patut peka dengan kesihatan diri dengan melakukan saringan awal pengesanan kanser payudara," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian pada majlis kecantikan dan kesihatan, Turn Up Pink anjuran pusat kecantikan, 176 Avenue, Bangsar, di sini, semalam.

Pada majlis itu, lebih 20 penghidap kanser payudara berpeluang mendapatkan rawatan kecantikan.

Yang turut hadir Pengarah 176 Avenue, Jady Teoh.


AHLI komuniti BCWA, Silvia Lee. - Foto Aziah Azmee

PSP sebulan sekali

Lee berkata, kes kanser payudara dalam kalangan wanita muda adalah senario global.

Wanita berusia semakin kurang relevan kerana di peringkat antarabangsa, mendapati seorang dalam 22 wanita menghidap kanser itu.

"Sukar menjelaskan punca utama mengapa wanita muda berisiko. Cuma saya fikir antara sebabnya ialah gaya hidup seperti tekanan menyumbang keadaan itu.

Dalam usaha menangani kanser payudara, Lee menyarankan pengesanan awal menerusi pemeriksaan sendiri payudara (PSP) dilakukan sebulan sekali.

"Sekiranya berlaku sebarang perubahan pada bahagian payudara, segera rujuk pakar. Jangan berlengah kerana rawatan awal boleh membantu wanita menyelamatkan nyawa.

"Paling penting, pengesanan kanser pada tahap awal, menjimatkan kos kewangan dan masa," katanya.

Disalurkan ke BCWA

Sementara itu, Teoh berkata, pusat berkenaan menyediakan pelbagai rawatan kecantikan dengan harga promosi sempena bulan kesedaran kanser payudara, sehingga akhir bulan ini.

"Pada masa sama, setiap 10 peratus rawatan dan pembelian produk disalurkan kepada BCWA.

"Kami menyasarkan kutipan RM10,000 menerusi acara ini bagi membolehkan wang berkenaan dimanfaatkan untuk aktiviti BCWA," katanya.

Statistik Kajian Penduduk Keluarga Malaysia Kelima yang dijalankan LPPKN mendapati 75.5 peratus daripada 5,738 wanita negara ini pernah melakukan pemeriksaan sendiri payudara.


PESAKIT kanser payudara, Aimi Wan Supian. - Foto Aziah Azmee

Ketulan bawah ketiak jadi petanda

"Saya rasa bahagian ketiak tak selesa. Ingatkan salah urat disebabkan jangkitan kuman ketika mencukur bulu ketiak atau kesan dedoran.

"Tetapi saya terkejut apabila pemeriksaan doktor ada ketulan di bahagian itu dan dipercayai simptom kanser payudara," kata

bekas pesakit kanser payudara, Aimi Wan Supian, 33.

Ibu kepada tiga lelaki yang kini berusia antara empat dan 12 tahun ini, berkata beliau ketika dikesan beliau berusia 29 dan pastinya ia memberi kejutan pada dirinya.

Pemeriksaan seterusnya, beliau didapati menghidapi kanser payudara tahap satu.

"Justeru, saya menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali disusuli dengan 17 kali rawatan terapi hormon," katanya ditemui pada majlis kecantikan dan kesihatan, Turn Up Pink, anjuran pusat kesihatan 176 Avenue, Bangsar.

Kanser merebak tahap tiga

Aimi berkata, rawatan dilalui agak banyak kerana pada peringkat permulaan doktor mensyaki beliau menghidap kanser tahap satu.

Namun, pemeriksaan lebih rapi menunjukkan kanser beliau berada pada tahap tiga kerana jangkitan merebak ke paru-paru.

"Menerima hakikat ia menyakitkan tetapi saya bersyukur kerana keluarga yang sangat menyokong dan tidak pernah putus memberikan semangat supaya melawan kanser," katanya.

Aimi yang berkhidmat dalam sektor perbankan mengakui menjadi isteri, ibu dan pekerja, bukan sesuatu yang mudah, namun beliau bernasib baik kerana majikan memahami.

"Majikan beri saya tempoh cuti anjal selama dua tahun. Dalam tempoh itu saya berasa tenang dan bersemangat selain membuat rawatan. Kini saya disahkan bebas daripada penyakit ini dan sudah kembali bekerja," katanya.

Akui lalai buat pemeriksaan

Aimi berkata, seperti kebanyakan wanita lain beliau dianggap lalai dan dan tidak kisah untuk membuat pemeriksaan payudara.

"Tetapi saya bersyukur sudah melalui pengalaman ini dengan baik. "Saya berharap apa yang saya lalui ini, boleh menjadi pengajaran pada wanita lain untuk sentiasa peka terhadap kesihatan diri dan keluarga," katanya.

Menghiburkan diri menyertai BCWA sejak setahun lalu, Aimi berkata menyertai persatuan membantu dirinya berasa lebih yakin selain berpeluang membantu pesakit kanser payudara lain untuk lebih bersemangat menempuh masa depan.

Berita Harian X