Jumaat, 16 November 2018 | 1:25pm
JURURAWAT memberi penerangan ujian dan pemeriksaan saringan kanser serviks menggunakan persampelan sendiri, di Klinik Kesihatan Seksyen 7, Shah Alam. - NSTP/Amirudin Sahib

Kesan sendiri kanser serviks

SHAH ALAM: Hanya lima minit diperlukan untuk membuat saringan kanser serviks menggunakan kaedah persampelan sendiri bagi mengesan sebarang risiko penyakit digeruni wanita, berbanding prosedur pap smear.

Pelaksanaan ujian saringan itu juga dapat menggalak dan meningkatkan kesedaran wanita membuat pemeriksaan berkenaan di mana sahaja hospital dan klinik yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Ketika ini, Klinik Shah Alam (KKSA) melaksanakan projek perintis Removing Obstacles to Cervical Screening (ROSE) yang dijalankan sekumpulan penyelidik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menggalakkan wanita menyertai projek terbabit.

Projek yang menyasarkan 2,000 responden wanita berusia 30 hingga 65 tahun itu, sekali gus menjadi alternatif kaedah lazim pap smear.

Persampelan sendiri itu juga memberikan keputusan lebih cepat, iaitu dalam masa tiga hari bekerja menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), sekali gus membolehkan responden terus merujuk klinik untuk rawatan susulan jika mereka ada tanda kanser serviks.

Jururawat KKSA, Siti Nor Haszaiyatee Wahab, berkata inisiatif ROSE mendapat maklum balas positif dalam kalangan wanita menyertai program saringan itu selepas diterangkan ia tidak serumit pap smear.

Katanya, kaedah pensampelan sendiri itu bukan sahaja memudahkan, bahkan begitu menyenangkan berikutan responden tidak perlu menunjukkan organ intim kepada petugas klinik.

“Ini membuatkan tempoh saringan singkat kerana selepas wanita itu melengkapkan borang butiran peribadi, mereka terus diberikan kit untuk membuat pengujian sendiri.

“Dalam tempoh tiga hari pula keputusan ujian diperoleh menerusi SMS, sekali gus mereka boleh merujuk kepada pihak berkaitan jika berkeperluan,” katanya antara jururawat yang terbabit dalam pemeriksaan berkenaan.

Sebelum ini, Perunding Ginekologi Onkologi PPUM, Prof Dr Woo Yin Ling, mendedahkan kanser serviks antara tiga kanser tertinggi dihidap wanita.

Menerusinya, 520,000 kes dilaporkan setiap tahun dan merekodkan 270,000 kematian pesakitnya di seluruh dunia dan sebenarnya kebanyakannya boleh dicegah.

Tinjauan BH mendapati meskipun program terbabit sudah memasuki siri kedua, tidak ramai mengetahui mengenai projek percuma itu kecuali mereka yang mempunyai urusan di klinik berkenaan yang boleh dilakukan antara jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang.

Kebanyakan mereka mengakui takut menjalani saringan pap smear, selain tidak terbuka ntuk melakukannya kerana membabitkan organ intim, meskipun tahu kepentingannya sebagai pencegahan awal risiko kanser.

Siti Nor Haszaiyatee berkata, projek itu membabitkan kerjasama pelbagai institusi termasuk Kementerian Kesihatan menggalakkan wanita melakukan persampelan sendiri, iaitu dengan menggunakan kit ujian berbentuk putik kapas dan bekas tiub khas disediakan.

“Kit berkenaan tidak memerlukan peralatan klinikal khusus, seperti pap smear, tetapi penguji boleh melakukan sendiri bagi mengambil sampel di faraj dengan memperoleh keputusan tempoh tiga hai bekerja.

“Kaedah ini lebih menyenangkan, tidak menyakitkan dan membuatkan ramai sedia buat sendiri saringan kanser serviks,” katanya.

Jururawat, Ritadesmeri Kamidir, 32, berkata beliau memanfaatkan hari cuti dengan memutuskan memperoleh maklumat dan menjalani saringan ROSE selepas dikongsikan kenalan di WhatsApp.

“Saya pernah menjalani pap smear tahun lalu dan berasakan proses menerusi kit ini sangat mudah dan tidak sakit kerana hanya memerlukan wanita itu sendiri mengambil persampelan sendiri.

“Prosedur jauh lebih selesa dan siap dalam masa beberapa minit, iaitu tidak memerlukan kita menunggu lama di klinik,” katanya yang menetap di Bukit Raja, di sini.

Pengusaha kecantikan dan rawatan berpantang, Hanim Yusof, 49, berkata beliau mengetahui mengenai program itu apabila ke klinik berkenaan menganjurkan ceramah mengenai penyusuan bayi.

“Saya percaya kaedah ini menarik ramai wanita untuk mencubanya, kerana ia tidak rumit, malah tidak seperti pap smear yang pernah lakukan beberapa tahu lalu hingga saya tidak mengulanginya walaupun tahu ia penting.

“Bagi saya wanita perlu seiring berusaha perubatan moden dan juga mempraktikkan penjagaan tradisional kerana kecantikan harus dari dalam dan luar,” katanya yang mempunyai 10 cahaya mata.

7412 dibaca
Berita Harian X