Selasa, 15 Januari 2019 | 10:10am
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendengar penerangan berkenaan aplikasi pemeriksaan kanser servik sempena Projek Revolusi Penyaringan Penghapusan Kanser Serviks (ROSE) Ke Arah Menuju Penghapusan Kanser Servik, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA

Ujian ROSE lebih mudah, keputusan tepat

KUALA LUMPUR: Lebih ramai wanita dijangka menjalani pemeriksaan saringan kanser serviks menerusi prosedur persampelan sendiri melalui Projek Revolusi Penyaringan Penghapusan Kanser Serviks (ROSE) kerana lebih mudah, selesa dan keputusan tepat.

Inovasi itu adalah pendekatan terbaik bagi meningkatkan kesedaran pemeriksaan awal mengelak kanser ketiga paling tinggi dideritai oleh wanita.

EXCO Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli Melaka, Ginie Lim Siew Lin, berkata projek itu sewajarnya diperluaskan di kawasan luar bandar di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai wanita mendapat manfaatnya.

Katanya, usaha ini bertepatan keperluan semasa terutama membabitkan wanita berusia 30 tahun ke atas dan mereka boleh melakukannya sendiri dan akan mendapat keputusan dalam tempoh tiga hari menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Saya juga mengambil peluang menjalani ujian ini. Peserta hanya perlu mengisi borang, mendengar taklimat dan ke tandas untuk melakukan persampelan sendiri dan kaedahnya sama seperti memakai tampon ketika datang haid,” katanya selepas majlis melancarkan projek ROSE, di sini semalam.

Majlis itu dilancar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Malaya (UM) dan VCS Foundation (VCSF) Australia bagi melaksanakan projek ROSE.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Dekan Fakulti Perubatan UM, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Perunding Ginekologi Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Woo Yin Ling.

Program kesedaran wanita

Projek ROSE menggabungkan tiga komponen persampelan sendiri, ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) dan platform digital yang juga sistem bersepadu pertama dilaksanakan di negara ini.

Penyaringan sebagai sebahagian program kesedaran wanita menangani risiko penyakit yang boleh sembuh. Pemeriksaan awal penting bagi mengenal pasti gejala awal dan merawat segera.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM), Ivy Josiah, berkata wanita cenderung memberi keutamaan kesihatan anggota keluarga berbanding diri sendiri.

Katanya, prosedur itu memudahkan wanita tampil menjalani pemeriksaan sendiri dengan mudah dan selesa.

“Saya sudah tiga kali menjalani pap smear dan masih tidak dapat melupakan proses menyakitkan itu, selain perlu ke hospital terpilih menetapkan tarikh sesuai. Prosedur memerlukan penggunaan peralatan klinikal dimasukkan ke dalam pangkal rahim.

“Ini membuatkan ramai enggan tampil membuatkan saringan berkala, faktor itu dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan penyakit berkaitan kanser pangkal rahim.

“Saya menggalakkan program diperluaskan dengan mengadakan klinik bergerak bertujuan menggalakkan lebih ramai kumpulan sasar menyertai program ini,” katanya.

Kekalkan kesihatan serviks

Pakar Perunding Perubatan Pemulihan PPUM, Prof Madya Dr Nazirah Hasnan, berkata persampelan sendiri menerusi ROSE jauh lebih baik berbanding kaedah lazim.

“Saya antara tidak ketinggalan melakukan pap smear kerana yakin pencegahan awal mampu merawat, tetapi apabila mencubanya hari ini, prosedur lebih selesa dan paling penting keputusan diperoleh pada masa singkat.

“Justeru, saya harap program diperluaskan segera bertujuan meningkatkan kesedaran umum pentingnya pemeriksaan awal bagi mengelak penyakit yang boleh meragut nyawa,” katanya.

Sementara itu, Dr Yin Ling berkata, ROSE adalah proses mengintegrasikan persampelan sendiri, ujian DNA HPV dan teknologi e-kesihatan meningkatkan perjalanan setiap wanita dalam mengekalkan kesihatan serviks.

Katanya, projek itu memberi peluang golongan sasar melalui pengalaman penyaringan kesihatan. Ini kerana ROSE merangkumi keselamatan dan privasi melalui persampelan sendiri.

483 dibaca
Berita Harian X