Ahad, 27 Januari 2019 | 12:42pm
Masalah kerja, bebanan kewangan antara penyebab individu normal alami tekanan. - Foto hiasan

Perubahan rutin turut ganggu emosi

KUALA LUMPUR: Perubahan rutin dalam menguruskan keluarga seperti urusan menyambut perayaan dan persediaan memulakan sesi persekolahan, antara situasi yang sering mencetuskan ketegangan emosi.

Ini berikutan masing-masing terpaksa memikirkan bebanan tambahan yang perlu diselesaikan, selain aktiviti rutin biasa.

Ketidakupayaan mengawal perasaan itu kata EXCO Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Ahmad Rostam Md Zin, mampu mewujudkan tekanan dan kecelaruan fikiran.

Beban kewangan

Beliau berkata, individu berhadapan masalah bebanan kewangan juga mengalami situasi sama, kerana mereka perlu menyediakan pelbagai persiapan untuk tujuan itu.

Katanya, banyak dilaporkan kes penderaan dan pergaduhan dalam keluarga, ketika menyambut musim perayaan sebegini.

“Bebanan menyebabkan gangguan emosi terhadap individu, hingga bahayakan diri sendiri dan orang keliling.

“Namun, harus diingat kegagalan mengawal emosi juga berlaku dalam kalangan individu normal, yang merasakan mereka mampu mengawal diri,” katanya.

Dr Ahmad Rostam berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar mengenai kes penderaan dan pergaduhan dalam keluarga, terutama menjelang musim perayaan dan permulaan sesi persekolahan, baru-baru ini.

Beliau berkata, gangguan dikenali sebagai varians dalam kesihatan mental, berlaku ketika adanya perubahan situasi normal hingga tidak normal.

“Gangguan ini disebabkan kegagalan individu mengurus emosi secara rasional.

“Tidak dinafikan kekangan kewangan antara penyebab tekanan perasaan, menyebabkan individu melakukan sesuatu luar kawalan. Ada ketika tekanan ekonomi memaksa mereka melakukan sesuatu yang bukan menjadi pilihan,” katanya.

Faktor utama berlaku gangguan emosi pula, kata Dr Ahmad Rostam, berlaku atas pelbagai sebab dalaman antaranya genetik dan penyakit.

Namun kata beliau, faktor luaran seperti bebanan kerja, masalah keluarga, isu psikososial dan penggunaan bahan terlarang juga menyumbang kepada gangguan emosi.

“Individu yang dilihat normal secara luaran juga mampu melakukan perkara luar kebiasaan, seperti penderaan dan pergaduhan walaupun mereka tidak mengalami gangguan kesihatan mental.


EXCO Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Ahmad Rostam Md Zin. - NSTP/Aizuddin Saad

Ambil bahan terlarang

“Keadaan boleh menjadi lebih buruk jika mereka dipengaruhi bahan terlarang,” katanya.

Dr Ahmad Rostam berkata, gangguan emosi boleh diatasi dengan panduan asas, iaitu mengenal pasti keupayaan diri dan persediaan mengawalnya.

Beliau menasihatkan individu yang mengalami gangguan sedemikian supaya segera berjumpa pakar kesihatan mental, atau sekurang-kurangnya mendapatkan bantuan daripada individu yang boleh dipercayai.

“Perkongsian perasaan membantu mereka melegakan segala masalah ditanggung,” katanya.

Info

Punca gangguan mental

• Genetik terutama jika ada seorang ahli keluarga berhadapan masalah sama.

• Gangguan bahan kimia dalam otak neurotransmitter gagal berfungsi menyebabkan gejala mental menyerang antaranya:

- Skizofrenia, iaitu penghasilan dopamin berlebihan.

- Kemurungan, paras serotonin terlalu rendah.

- Mania, paras serotonin meningkat mendadak.

- Kebimbangan berlaku gangguan dalam pengeluaran dan fungsi noradrenalin.

- Jangkitan virus, kajian membuktikan ada penyakit akibat jangkitan dikaitkan kemunculan penyakit mental.

- Sejarah hidup getir contohnya, mengalami proses kelahiran sukar, kehilangan ibu bapa ketika kecil atau banyak mengalami cabaran hidup.

- Keadaan sosioekonomi yang rendah seperti faktor kemiskinan, tiada kemudahan asas atau keganasan dalam kalangan masyarakat.

Berita Harian X