Ahad, 17 Februari 2019 | 10:01am
Penuaan sihat bermaksud individu yang sudah mencapai usia tua tetapi masih berkemampuan untuk berdikari dan menguruskan diri sendiri. - Foto hiasan
Penuaan sihat bermaksud individu yang sudah mencapai usia tua tetapi masih berkemampuan untuk berdikari dan menguruskan diri sendiri. - Foto hiasan

Sentiasa sihat walaupun berusia

MALAYSIA bakal menyusul memegang status negara tua berikutan kadar kelahiran di negara ini semakin rendah dengan jangka hayat penduduknya lebih lama.

Pencapaian itu disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya hasil pembangunan teknologi perubatan dan juga kesedaran dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

Pengerusi Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed, berkata biarpun status negara maju menjadi kebanggaan dunia, namun agak mustahil sekiranya warga emas tidak menunjukkan penuaan sihat.

Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed. - Arkib NSTP
Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed. - Arkib NSTP

Katanya, penuaan sihat bermaksud individu yang sudah mencapai usia tua tetapi masih berkemampuan untuk berdikari dan menguruskan diri sendiri. Ia adalah proses membentuk dan mengawal fungsi badan kekal di tahap yang baik biarpun memasuki usia emas.

Beliau berkata, walaupun ada antaranya dikurniakan usia panjang tetapi sakit dan terlantar di atas katil di rumah atau hospital berikutan menghidap pelbagai penyakit, ia bukanlah penuaan yang sihat.

“Penuaan sihat tidak mungkin berlaku andai tidak mengamalkan gaya hidup sihat seawal usia muda. Paling utama ialah dengan menjaga pemakanan dan mengawal berat badan supaya dapat kekal sihat pada usia tua.

“Ada kajian menunjukkan orang yang mengamalkan gaya hidup sihat menerusi pemakanan ketika muda berisiko rendah menghidap penyakit kronik apabila tua,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Memahami erti penuaan

Dr Hamid Jan yang juga ahli Lembaga Penasihat Nutrisi (NAB) Herbalife, berkata menerusi tinjauan Penuaan Sihat Asia Pasifik 2018 yang dilakukan Herbalife Nutrution mendapati, kebanyakan penduduk di rantau Asia mempunyai kesedaran tinggi mengenai kehidupan penuaan sihat.

Tinjauan itu membabitkan 5,500 responden berusia 40 tahun ke atas meliputi rakyat dari Australia, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

Hasil pemantauan itu mendapati, 79 peratus daripada mereka memahami erti penuaan sihat perlu aktif secara mental; fizikal (76 peratus); tidak dijangkiti penyakit (71 peratus) dan tidak menjadi bebanan keluarga (67 peratus).

Beliau berkata, persepsi terhadap pentingnya mengubah gaya hidup bagi mencapai penuaan sihat menunjukkan peratusan tinggi iaitu 78 peratus dan tindakan yang diambil (65 peratus).

“Sebanyak 76 peratus responden mengakui pemahaman yang lebih baik mengenai nutrisi bagi proses penuaan sihat akan membantu mereka membuat pilihan pemakanan lebih sihat. Sementara itu, 54 peratus pula berpendapat akses yang mudah terhadap pilihan makanan dan produk penuaan yang sihat akan membantu mereka membuat pilihan yang lebih baik,” katanya.

Gaya hidup aktif

Dr Hamid Jan berkata, terdapat beberapa trend pengambilan nutrisi penting yang perlu diikuti untuk proses penuaan sihat, seperti penjagaan kesihatan holistik dan gaya hidup aktif serta pengambilan sarapan pagi yang berkhasiat.

“Waktu tidur lapan jam atau lebih akan mengakibatkan badan kehilangan nutrien dan menjurus kepada perasaan kurang senang apabila bangun dari tidur. Namun, pengambilan sarapan pagi berkhasiat boleh menambah baik prestasi seseorang keesokan hari.

“Ia membantu fungsi kognitif dari aspek kelajuan, pemerhatian serta kemahiran menyelesaikan masalah. Menerusi sarapan yang sihat dengan pengambilan lebih banyak protein sewaktu sarapan, ia juga boleh menurunkan tahap gula darah dan membantu mengurangkan lapar pada waktu berikutnya,” katanya.

Nutrisi baik adalah komponen penting kerana memberikan tubuh khasiat yang diperlukan untuk memelihara kesihatan. Tanpa nutrisi yang baik, badan mudah terdedah kepada pelbagai jenis penyakit dan jangkitan.

Sebagai contoh, nutrisi paling penting untuk tubuh ialah kalsium yang berfungsi memberi kekuatan tulang dan penjagaan itu perlu bermula sejak usia bayi lagi.

“Tulang manusia akan matang pada apabila menjelang umur 20 tahun. Jadi, sepanjang proses pembesaran dan kematangan itu berlaku, setiap individu seharusnya menjaga pemakanan dengan mengambil sajian yang mengandungi kalsium,” katanya.

Info: Kepentingan kalsium untuk tubuh:

• Kekuatan tulang

• Mudah dijaga untuk tempoh 20 tahun akan datang atau sehingga usia tua

• Mengelak masalah osteoporosis

Berita Harian X