Rabu, 27 March 2019 | 11:30am
Budayawan Melayu, Prof Dr Siti Zainon Ismail membuat pembentangan kepada orang ramai yang bertajuk Melestari Busana Melayu: Tinjauan Koleksi Anak Negeri Selangor ketika Bengkel Mengenali Busana Melayu 2019 di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia. - Foto Azhar Ramli
Budayawan Melayu, Prof Dr Siti Zainon Ismail membuat pembentangan kepada orang ramai yang bertajuk Melestari Busana Melayu: Tinjauan Koleksi Anak Negeri Selangor ketika Bengkel Mengenali Busana Melayu 2019 di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia. - Foto Azhar Ramli
Budayawan Melayu, Prof Dr Siti Zainon Ismail berucap ketika Bengkel Mengenali Busana Melayu 2019 di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia. - Foto Azhar Ramli
Budayawan Melayu, Prof Dr Siti Zainon Ismail berucap ketika Bengkel Mengenali Busana Melayu 2019 di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia. - Foto Azhar Ramli

Anak hilang identiti diri, cara berpakaian cermin peribadi

Serdang: Sikap ibu bapa tidak peduli akan penampilan anak masing-masing terutama anak perempuan menjadikan mereka hilang identiti diri, enggan mengenakan pakaian tradisional walaupun ketika berkunjung ke majlis keraian.

Keengganan menegur cara pemakaian menyaksikan anak mengenakan pakaian kurang sopan, ketat dan mendedahkan aurat, tidak sesuai untuk majlis dihadiri.

Lebih membimbangkan wanita Melayu sendiri enggan mengenakan busana tradisional pada majlis perkahwinan mereka sendiri sedangkan pakaian itulah dikenakan nenek moyang mereka sebelum ini.

Pakar Budaya, Prof Dr Siti Zainon Ismail, berkata ibu bapa kini terlalu mengambil mudah perkara ini berbanding generasi sebelum ini, begitu tegas dalam setiap penampilan.

Berkongsi pengalaman, neneknya pernah menggunting seluar yang dipakai beliau kerana terlalu marah dan menganggap anak gadis tidak sesuai mengenakan celana.

Tak berani menegur

“Antara faktor berlaku keadaan sedemikian disebabkan ibu bapa tidak ada kuasa atau tidak berani menegur disebabkan keputusan diserahkan sepenuhnya kepada anak.

“Penampilan sedemikian mencerminkan sikap ibu bapa seolah-olah selesa melihat anak berpakaian tidak sesuai ketika menghadiri sesuatu majlis,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Mengenali Busana Melayu, di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, Siti Zainon membentangkan topik berkenaan Mengenali Busana Perempuan Persalinan Gaya Negeri Selangor ‘ Catatan 130an hingga 1970 an di Gombak, Selangor.

Bengkel menyarankan busana negeri Selangor itu diangkat martabatnya menerusi galakan pemakaian busana dan mewujudkan Hari Kebaya seminggu sekali di negeri Selangor.

Penampilan lebih sopan

Fenomena ini kata beliau, memerlukan perhatian semua pihak bagi membolehkan wanita mengekalkan jati diri menerusi penampilan lebih sopan, ini dilihat sebagai pemangkin bagi mencegah hilangnya sifat kewanitaan dalam diri.

Katanya, asas pendidikan dari rumah seawal usia penting dan mesti diterapkan sebagai teras pembinaan jati diri supaya tidak terpengaruh dengan budaya luar.

“Jati diri wanita Melayu perlu diperkasakan memandangkan semakin tenggelam ditelan arus kemodenan. Hidup berbudaya semakin dipinggirkan dalam pelbagai sudut termasuk amalan gaya hidup dan pemakaian.

“Sepatutnya budaya dan busana ini diangkat pada majlis penting seperti perkahwinan supaya terus lestari dan berkembang,” katanya.

Beliau berkata, jati diri wanita Melayu walaupun sudah ‘diragut’ sejak kemasukan pengarah Barat tetapi perkara itu bukan faktor kecenderungan anak muda selesa memilih pakaian yang tidak melambangkan budaya Kemelayuan.

“Menangani isu ini, pereka fesyen perlu memainkan peranan dalam mencipta busana yang menerapkan nilai jati diri Melayu dengan imej sopan menerusi iklan dalam media massa,” katanya.

Berita Harian X