Ahad, 9 Jun 2019 | 12:05pm

'Baliklah, jenguk kami'

HAMPIR lima tahun digantung tak bertali sehingga sekarang dan perlu menyara tujuh anaknya menjadikan suri rumah, Siti Fatimah Ahmad, 45, terus mengharap pada musim perayaan tahun ini, suaminya pulang menjenguk mereka.

Siti Fatimah berkata, suaminya tidak pulang menjenguk keluarga dan tidak memberi nafkah, termasuk membeli keperluan hari raya.

Katanya, makan dan pakaian anak atas belas bapanya, Ahmad Daud, 67, yang hanya pesara polis.

“Ayah menjaga kami dan melengkapkan perbelanjaan harian, termasuk keperluan hari raya anak.

“Saya mohon suami kembali ke pangkuan keluarga dan menjalani kehidupan bersama seperti dahulu.

“Dahulu, sambutan kami meriah, malah anak seronok dapat beraya bersama, lebih-lebih lagi mereka teruja pulang ke kampung bapa mereka di Johor.

“Namun, semuanya tinggal kenangan saja,” katanya ketika ditemui di kediaman bapanya di Projek Perumahan Rakyat Seri Semarak, Setapak, baru-baru ini.

Siti Fatimah yang mengalami kemurungan bagaimanapun enggan bercakap banyak mengenainya.

Hasil perkahwinan dengan Mohd Herwan Mohd Zaid, 43; Siti Fatimah dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu Mohd Shahirul Azree, 21; Nur Shahirzatul Azreen, 16; Nur Syahizyani Azleen, 14; Muhd Shahirzaquan Azreel, 12; Nur Shazreena Azween, 9; Nur Shahirdatul Azreena, 7, dan Nur Shazleeza Azmeera, 5. Tiga daripada anaknya diambil suami tanpa pengetahuannya, sejak Januari lalu.

Harap ayah pulang

Anak kedua Siti Fatimah, Nur Shahirzatul Azreen berkata, dia dan adik-beradiknya sayu setiap kali melihat sepupu serta saudara-mara bergembira menyambut raya dengan serba lengkap.

Katanya, ayahnya belum pernah muncul beraya bersama sejak mereka ditinggalkan tanpa sebab.

“Kami masih ada ayah, tetapi dia pula tidak muncul. Kami pelik dengan keadaan ini. Teringat kenangan lama, seronok beraya di kampung ayah di Johor. Namun, semuanya berubah. Kami rasa tidak lengkap. Ayah ada, tetapi entah di mana.

“Emak jadi pendiam dan termenung berikutan masalah itu. Keadaan emak lebih teruk selepas ayah mengambil tiga adik tanpa pengetahuannya. Emak keluar berkeliaran mencari adik dan mengharapkan kami bersama semula

“Datuk banyak berkorban. Harap ayah kembali ke pangkuan keluarga kerana Muhd Shahirzaquan Azreel bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Dia perlu kekuatan emosi dan kami semua perlukan sokongan ayah untuk kelangsungan hidup,” katanya.

AHMAD Daud bersama Siti Fatimah ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat Seri Semarak, Setapak, baru-baru ini. - Foto Rosela Ismail
AHMAD Daud bersama Siti Fatimah ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat Seri Semarak, Setapak, baru-baru ini. - Foto Rosela Ismail

Ahmad kesal menantu gantung anak tak bertali

Sementara itu, bapa Siti Fatimah, Ahmad Daud, berkata memandangkan tiada tempat bergantung dan tidak diendahkan suami, beliau mengambil alih semua tugas menyara kehidupan anak dan cucunya.

Namun, dengan pencen yang tidak seberapa dengan kehidupan di ibu kota, serba serbi mahal dan mencabar, maka perbelanjaan perlu dikawal dengan membeli keperluan utama sahaja.

“Saya bersyukur kerana cucu tidak banyak meminta dan mereka memahami situasi yang melanda. Tetapi, sebagai datuk yang menyara mereka pasti mahu melihat mereka tersenyum dapat meraikan raya dengan penuh meriah.

“Sejak anak saya ditinggalkan gantung tak bertali, setiap kali raya saya bawa mereka pulang ke desa di Kampung Baling, Kuala Pegang, Kedah beraya bersama moyang mereka yang sudah berusia 90 tahun.

“Sekurang-kurangnya dengan suasana beraya di kampung yang selalunya meriah dengan kawan dan makanan dapat menggembirakan mereka,” katanya.

Sering doa menantu pulang

Beliau yang mempunyai 39 cucu ini, kecewa dan sedih dengan sikap menantunya yang tidak bertanggungjawab meninggalkan isteri dan anak begitu sahaja.

Tidak lekang dari bibirnya menitipkan doa dalam setiap solatnya dengan hati penuh mengharap supaya menantunya yang dikatakan bekerja sebagai pembantu peribadi kepada orang kenamaan supaya pulang ke pangkuan keluarga pada hari raya kali ini dan dapat bersatu semula menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Saya tidak akan berhenti berdoa dan memohon supaya dia datang beraya tahun ini bagi mengeratkan semula hubungan silaturahim dengan isteri dan anaknya.

“Dia tidak seharusnya membiarkan Siti Fatimah dalam keadaan begini. Jika ingin menceraikannya buat cara yang betul. Jangan tinggalkan anak saya terkontang-kanting,” katanya yang mempunyai 12 anak.

Ahmad berkata, sejak ditinggalkan, Siti Fatimah kemurungan.

“Dia pernah keluar rumah berjalan kaki ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan berlegar di sekitar ibu kota ketika hilang selama dua minggu, pada Mac lalu.

“Agak sukar saya meninggalkan mereka di rumah, tambah pula saya perlu pulang ke kampung di Kedah setiap 15 hari untuk menjaga ibu yang sakit sedangkan anak dan cucu saya di sini pula perlukan perhatian rapi,” katanya.

SITI Fatimah bersama bapa melayan kerenah anak-anaknya yang beraya tanpa ayah mereka sejak lima tahun lalu. - Foto Rosela Ismail
SITI Fatimah bersama bapa melayan kerenah anak-anaknya yang beraya tanpa ayah mereka sejak lima tahun lalu. - Foto Rosela Ismail
Berita Harian X