Isnin, 29 Julai 2019 | 8:05am
Lam Thye menyaksikan aksi cemas ‘mangsa culik’ ketika demonstrasi cara membuka but kereta pada program Kempen Kesedaran Jenayah Jalanan Wanita ke-5 dan Penganugerahan Iron Lady 2019 di Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Ibu bapa kena lebih peka, utama keselamatan anak

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyaran ibu bapa supaya lebih sensitif, berwaspada dan meningkatkan keselamatan anak di mana sahaja mereka bagi mengelak menjadi sasaran penjenayah.

Naib Pengerusi Kanannya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kanak-kanak pada awal usia seharusnya didedahkan dan memahami mengenai pelbagai risiko dan bahaya yang tidak dijangka ketika berada di luar rumah.

Pada masa sama, ibu bapa turut berperanan menerapkan nilai mulia anak mereka bagi mengelak terbabit dengan kegiatan jenayah pada masa depan.

Katanya, sebarang bentuk pencegahan jenayah bukan sahaja tanggungjawab kerajaan mahupun polis, tetapi ia memerlukan penyertaan ibu bapa.

“Pada masa sama, penting ibu bapa memelihara nilai mulia dalam kalangan anak mereka untuk mengelak terbabit dalam jenayah kerana ia boleh menjadi penyakit sosial yang terus membarah dalam masyarakat.

“Untuk mencapai aspirasi itu kita perlu kembali kepada dasar utama dengan memupuk, mendidik dan mendisiplinkan anak supaya dapat melahirkan insan yang lebih prihatin dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Kempen Kesedaran Jenayah Jalanan Wanita kali ke-5 dan Penganugerahan Iron Lady 2019 anjuran bersama Kelab Marshall Keselamatan Jalan Raya (RSMC) dan Great Eastern Mall, di sini semalam.

Sementara itu, Lam Thye berkata, meskipun kadar jenayah dilihat menurun, MCPF mengingatkan masyarakat perlu berwaspada kerana kejadian jenayah boleh berlaku bila-bila masa.

Katanya, mengikut indeks jenayah di seluruh negara mencatat penurunan 7.1 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu 41,173 kes berbanding 44,300 bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya jumlah jenayah kekerasan dan harta menurun 7.3 peratus, sepanjang enam bulan pertama tahun ini kepada tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Lam Thye berkata, banyak yang sudah dilakukan oleh pihak berkuasa khususnya polis untuk membanteras kejadian jenayah, selain menambah anggotanya bagi tujuan berkenaan.

Selain itu, NGO dan masyarakat seharusnya membuang tanggapan negatif terhadap anggota polis dan pasukan itu mempunyai peranan penting dalam menjaga keselamatan negara.

Terdahulu, Lam Thye menyampaikan anugerah kepada 15 wanita terdiri daripada pemimpin NGO dan persatuan wanita dan perseorangan yang berjaya memberi inspirasi kepada masyarakat terhadap kesedaran keselamatan wanita di negara ini.

244 dibaca
Berita Harian X