Isnin, 5 Ogos 2019 | 1:13pm
Bee Lee di Wisma TV, Angkasapuri. - NSTP/Salhani Ibrahim

Jurubahasa isyarat pelengkap maklumat golongan istimewa

KUALA LUMPUR: Hampir setiap malam wajah wanita ini, Tan Bee Lee, muncul di kaca televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyempurnakan tugasnya sebagai jurubahasa isyarat menerusi segmen Nasional 8.

Ketangkasan dan kecekapan Bee Lee menyampaikan mesej menggunakan bahasa isyarat, khusus untuk penonton pekak dan bisu supaya melekat di depan televisyen bagi mengetahui berita terkini, memang tidak dinafikan lagi.

Wanita berusia 50-an itu yang sudah berkhidmat selama 23 tahun lalu adalah antara tiga jurubahasa isyarat diberi tanggungjawab di saluran berkenaan demi memenuhi keperluan golongan berkenaan.

Biarpun berdarah Cina, Bee Lee yang juga pemandu pelancong berlesen, fasih berbahasa Melayu, berperwatakan ceria, mengakui mempunyai perhatian tersendiri hingga ada menegur dan mahu bergambar berikutan dirinya sering muncul di saluran penyiaran tertua itu.

“Jurubahasa isyarat menjadi pengantara atau telinga kepada golongan cacat pendengaran terutama dalam memahami inti pati berita seperti apa yang disiarkan di kaca televisyen.

“Kerjaya ini tidak popular seperti penyampai berita, kemunculan jurubahasa isyarat di sudut penjuru siaran berita TV di saluran RTM cukup signifikan terhadap golongan istimewa terbabit.


Jurubahasa isyarat menerusi segmen Nasional 8, RTM, Bee Lee. - NSTP/Salhani Ibrahim

“Biarpun bagi kebanyakan orang, gelagat individu menggerakkan tangan untuk menyampaikan informasi berita adalah perkara biasa kerana fokus terarah kepada penyampaian maklumat penting daripada penyampainya,” katanya yang pada awalnya memulakannya sebagai kerjaya sambilan sejak 1996.

Menyelami tugasnya, Bee Lee berkata, ia bukan perkara mudah berikutan tidak semua mempunyai kemahiran terbabit, apatah lagi tidak kurikulum khas mengenai bahasa isyarat yang boleh dijadikan garis panduan.

“Menggalas tugas jurubahasa isyarat seseorang itu perlu faham isi berita kemudian ia diterjemahkan supaya ia mampu difahami golongan pekak, juga bukan mengikut bulat-bulat sesuatu perkataan kerana yang penting gerak tangan sebaiknya tersusun mengikut bait kata penyampai.

“Biarpun peranan kita dilihat kecil, saya gembira dengan tugasan ini kerana ia cukup memberikan impak besar berikutan tugasan terbabit berupaya memberikan maklumat tepat kepada golongan pekak,” katanya dalam pertemuan di RTM, baru-baru ini.

Katanya, kemahiran bahasa isyarat itu dipelajari menerusi komunikasi dengan adiknya yang pekak, lalu dipraktikkan dalam setiap perbualan dan akhirnya menjadi sebahagian kerjaya sampingan, iaitu jurubahasa isyarat untuk siaran berita dan mahkamah.

Beliau berkata, ketiadaan barisan pelapis kerjaya itu membuatkannya terus setia melaksanakan tugas penuh komited kerana tanggungjawab itu membolehkan orang pekak ikut sama perkembangan semasa.

“Misalnya bahasa isyarat tidak mempunyai rujukan formal seperti buku, tetapi saban masa terdapat perubahan disesuaikan mengikut masa, tidak boleh dilakukan mengikut sepatah-sepatah perkataan, malah juga perlu peka jika ia perkara baharu.

“Lazimnya, jurubahasa perlu memahami isi berita dan menyampaikannya semua dalam masa dua saat kerana jika ketinggalan perkataan, tatabahasa boleh berubah dan memerlukan usaha atau membuat ulangkaji jika ada perkembangan isu baharu,” katanya yang turut menjadi panel untuk temu duga pengambilan jurubahasa isyarat.

Beliau berkata, biasanya sebelum muncul dalam sesuatu siaran, perkara utama dilakukan adalah berlatih menterjemahkan sebagai bahasa isyarat dan cuba tidak membuat kesilapan dalam menyampaikan maklumat.

Setiap pekerjaan ada cabarannya. Begitu juga dengan jurubahasa isyarat dan cabaran paling utama adalah untuk menguasai bahasa isyarat itu sendiri.

“Apa yang mencabarnya apabila tanda isyarat itu berubah mengikut masa dan ini menjadi cabaran kepada kita untuk memproses makna untuk diterjemahkan ke dalam bahasa isyarat.

“Misalnya dalam menyampaikan bahasa isyarat di kaca televisyen akan menjadi sukar apabila bahasa atau istilah digunakan tidak difahami, maka proses menterjemahkannya menjadi sukar,” katanya.

Beliau mengakui tugas itu memerlukan penumpuan supaya tidak tersilap dalam menterjemahkan inti pati berita, lantas berharap pihak berkenaan dapat menilai semula peranan jurubahasa isyarat, terutama dari segi kenaikan gaji.

“Dari segi bayaran perkhidmatan seharusnya dapat menaikkan bayaran kerana upah yang sama diberikan sejak sekian lama dan tidak memadai dengan komitmen jurubahasa isyarat.

“Seharusnya pihak terbabit menaikkan bayaran kerana ia tidak setimpal dengan pengalaman, kemahiran, komitmen dan berikan kami kurang untuk dilihat lebih jelas di kaca televisyen supaya ia memberi manfaat kepada yang memerlukannya,” katanya.

219 dibaca
Berita Harian X