Khamis, 8 Ogos 2019 | 11:35am
TASKA perlu diperbanyakkan di sektor kerajaan dan swasta untuk memudahkan wanita bekerja menempatkan anak di tempat kerja. Foto - Zunnur Al Shafiq

66 Taska kerajaan dibuka tahun ini

SERDANG: Sebanyak 66 taman asuhan kanak-kanak (Taska) di bawah agensi kerajaan di seluruh negara dijangka dibuka tahun ini bagi menampung keperluan penjagaan dan perkembangan holistik golongan itu sementara ibu keluar bekerja.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata penyediaan taman asuhan itu adalah menerusi peruntukan bajet RM10 juta yang disalurkan menerusi Belanjawan 2019 diumumkan tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 19 Taska baharu dibuka di hospital kerajaan di seluruh negara untuk membolehkan kakitangan yang bekerja mengikut syif seperti jururawat menempatkan anak mereka di situ.

“Kita berharap dalam Belanjawan 2020 nanti, ada lagi tambahan peruntukan membuka lebih banyak Taska di tempat kerja untuk sektor kerajaan.

“Sehingga ini, 541 jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara masih belum mempunyai Taska di tempat kerja.

“Bagaimanapun, kita sudah minta mereka memulakan operasi dengan mencari bajet sendiri untuk mewujudkan pusat jagaan berkenaan kerana ia keperluan untuk semua pekerja,” katanya selepas merasmikan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2019, di Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.

Yang turut hadir, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Aini Ideris; Pengarah Hospital Pengajarnya, Prof Madya Dr Muhammad Isa; Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi Fakulti Perubatan & Sains Kesihatannya, Dr Maiza Tusimin


TASKA dibuka di tempat kerja ia memberi ketenangan dan keselesaan kepada ibu bekerja. Foto - Zunnur Al Shafiq.

Selain mewujudkan Taska, Belanjawan 2019 juga menyalurkan peruntukan kepada institusi kebajikan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen, Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah, Jabatan Penjara dan Pusat Koreksional Puncak Alam di seluruh negara.

Yeoh berkata, dengan penubuhan Taska di agensi kerajaan, sekali gus boleh menjadi contoh kepada sektor swasta membuka pusat jagaan berkenaan di premis masing-masing.

Katanya, kerajaan ingin mengubah persepsi masyarakat terhadap kemudahan infrastruktur seperti Taska, bilik penyusuan ibu dan bilik persalinan bayi di tempat kerja daripada status pilihan kepada keperluan asas dan mandatori.

Namun, bagi memastikan sektor swasta mewujudkan kemudahan itu di tempat kerja yang juga tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, usaha itu perlu berjaya pada peringkat kerajaan terlebih dulu.

“Kita hanya boleh menggalakkan sektor swasta membuka pusat jagaan berkenaan. Pembukaan Taska itu menggalakkan kakitangan wanita lebih produktif, fokus, sekali gus dapat bekerja dengan tenang dan setia kepada institusi.

“Sekiranya Taska dibuka di tempat kerja ia memberi ketenangan dan keselesaan kepada ibu bekerja. Ia juga mampu meningkatkan produktiviti ketika bekerja dan memberi peluang lebih ramai ibu menyusukan bayi mereka sehingga mencapai usia dua tahun,” katanya.

Yeoh berkata, berdasarkan statistik oleh Jabatan Kesihatan Negeri melalui Klinik Desa, Klinik Kesihatan serta Klinik Ibu dan Anak, peratusan ibu menyusukan bayi menunjukkan peningkatan mendadak, iaitu daripada 14.4 peratus pada 2009 kepada 65.9 peratus, tahun lalu.


TIMBALAN Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

“Berbaki 34 peratus lagi ibu tidak memberikan susu kepada bayi mereka atas pelbagai faktor.

“Oleh itu, kita berharap ibu mendapat dan meningkatkan pengetahuan menerusi program berkaitan penyusuan kerana maklumat berbeza mengikut zaman serta generasi.

“Ibu yang tidak dapat menyusu jangan putus asa atau rasa tertekan dan menyalahkan diri sendiri, sebaliknya perlu mendapatkan sokongan serta bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan sokongan berkaitan,” katanya.

Mengikut statistik, sejak Januari sehingga sekarang 11, 304 ibu menyusukan bayi secara eksklusif selama enam bulan, manakala 64,554 ibu menyusu bagi tempoh sama pada 2018.

614 dibaca
Berita Harian X