Isnin, 12 Ogos 2019 | 11:18am

Kanak-kanak lembam sukar proses maklumat, suasana asing

KUALA LUMPUR: Individu yang mengalami masalah lembam sukar untuk memproses maklumat dan mengalami kekeliruan sekiranya berdepan dengan suasana persekitaran asing seperti tersesat di dalam hutan.

Ahli Psikologi Klinikal, Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Irma Fadhilah Ismail, berkata daya ingatan seseorang yang lembam mungkin bermasalah hingga menyukarkan untuk memberi tumpuan pada satu-satu hal.

Katanya, tidak dinafikan kanak-kanak atau remaja yang menghadapi masalah lembam mungkin rasa takut, kadang-kadang akan mengasingkan diri sebagai langkah berjaga-jaga.

“Bagi kes remaja warga Ireland yang hilang ketika menginap di sebuah resort di Pantai, Seremban, Nora Anne Quoirin, 15, mangsa sukar hendak pulang ke resort penginapannya kerana mengalami masalah ingatan.

“Mungkin juga kali pertama datang bercuti di situ, menyebabkan ia tidak dapat mencari jalan pulang.

“Berikutan gagal ditemui, saya yakin dia dalam ketakutan dan pihak berkuasa perlu segera mencarinya,” katanya.

Dr Siti Irma Fadhilah mengulas mengenai kehilangan Nora di Resort The Dusun Pantai Hill, seluas 1.215 hektar ketika bercuti bersama ibu bapa dan dua adik-beradiknya.


ANGGOTA Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan misi pencarian di lokasi seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang dilaporkan hilang, baru-baru ini di sebuah resort di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. Foto - Adzlan Sidek

Lima beranak itu tiba di resort berkenaan awal Ogos lalu dan kehilangan mangsa yang bermasalah lembam, disedari ahli keluarganya pada jam 8 pagi keesokannya.

Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sehingga hari ini masih menemui jalan buntu mengesan mangsa.

Pakar Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Dr Shazreen @ Fatihah Shaari, berkata sekiranya penghidap menghadapi masalah ketidakupayaan intelektual (mental retardation), gangguan pembelajaran secara umum (slow learner) atau masalah pembelajaran spesifik seperti kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), autisme berkemungkinan mereka sukar mengawal tingkah laku sendiri.

“Ketidakupayaan intelektual bergantung kepada beberapa tahap daripada ringan kepada tahap yang lebih teruk. Ada yang boleh berdikari dan ada juga yang perlu bergantung kepada kedua ibu bapa dan penjaga sepenuhnya,” katanya.

Pakar Perunding Psikiatri (Remaja & Kanak-kanak), UPM, Prof Madya Dr Hamidin Awang, berkata sudah menjadi fitrah manusia bertindak balas dengan apa yang biasa didengari, termasuk suara ibu.

“Jika kanak-kanak terbabit masih berada di kawasan pencarian dan mendengar suara ibunya, pasti beliau akan bertindak balas serta-merta.


Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor meluangkan masa berjumpa dengan bapa Nora Anne Quoirin ketika melawat perkarangan resort penginapan keluarga mangsa, di Pantai, Negeri Sembilan. Foto - Ihsan PDRM

“Syaratnya kanak-kanak terbabit masih berdaya untuk bergerak dan dia akan mencari di mana punca suara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, menjadi fitrah manusia, hubungan ibu dan anak adalah secara ‘chemistry’ sejak dalam kandungan lagi “Selepas lahir kalau ibu rapat dengan remaja terbabit, dia tahu itu suara emak dia (Learning behaviour),” katanya.

1551 dibaca
Berita Harian X