Rabu, 14 Ogos 2019 | 11:16am

90 peratus penderaan seksual tiada bukti

Kuala Lumpur: Hampir 90 peratus kes penderaan seksual yang membabitkan kanak-kanak dan remaja Orang Kurang Upaya (OKU) tidak mempunyai bukti kukuh.

Keadaan itu disebabkan kebanyakan penderaan dialami adalah berbentuk mental iaitu lebih kepada kesan psikologi ke atas kanak-kanak terbabit.

Pensyarah dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Unit Ginekologi Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr Ani Amelia Zainuddin, berkata kekurangan bukti menyebabkan banyak kes tidak dapat di bawa ke mahkamah.

Katanya, ada ibu bapa ibu bapa pula ‘melarikan’ anak yang mengalami penderaan atau gangguan seksual daripada mendapat pembelaan.

Penderaan hanya disedari menerusi pengakuan kanak-kanak atau remaja berkenaan.

“Kebanyakan kes dirujuk kepada unit kami, mangsa tidak ada petanda didera secara fizikal walaupun kadang-kadang terdapat lebam atau kesan koyakan.

“Penderaan hanya dapat dilihat menerusi trauma yang dihadapi mangsa, sebagai contoh mengalami mimpi ngeri ketika tidur malam atau bercerita perlakuan membuka seluar dan menunjukkan kemaluan kepadanya. Kita kena percaya kata-kata anak kerana mereka tidak akan menipu ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum (Kesihatan dan Keselamatan Seksual Kanak-Kanak Kelainan Upaya): Isu dan Cabaran) pada Seminar Kesihatan dan Keselamatan Seksual Kanak-Kanak Kelainan Upaya 2019, di sini baru-baru ini.

Dr Ani Amelia, berkata kanak-kanak dan remaja OKU berisiko dua sehingga tiga kali ganda mengalami gangguan seksual berbanding kanak-kanak dan remaja normal.

Katanya, setakat ini, unit berkenaan dibuka sejak April 2008, sudah mengendalikan tiga kes kanak-kanak OKU yang diperkosa ketika berjalan bersendirian ketika pulang dari sekolah.

“Berdasarkan dua kes, kebanyakan pelaku sudah memerhatikan rutin harian mangsa dan bertindak apabila mereka berseorangan,” katanya.

Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja HCTM, PPUKM, Prof Madya Dr Wan Salwina Wan Ismail, berkata kebanyakan keluarga cuba menafikan apabila anak menjadi mangsa penderaan seksual disebabkan cuba menutup aib keluarga terutama sekiranya membabitkan sumbang mahram.

“Terdapat beberapa kes dikesan secara kebetulan dan mangsa asalnya dibawa diperiksa kerana pencapaian dalam akademik semakin merosot tetapi sebaliknya mendedahkan dirinya dicabul oleh bapa tiri.

“Dalam proses membuat laporan, mangsa dan keluarganya sudah tidak dapat dikesan dan dipercayai berpindah ke tempat lain,” katanya.

Katanya, selain menjadi mangsa, remaja OKU juga boleh menjadi pelaku gangguan seksual termasuk menyentuh orang lain di tempat tidak sepatutnya atau melancap di tempat awam.

Bagaimanapun, katanya, sebarang dakwaan sepatutnya bergantung kepada tahap intelektual OKU berkenaan sama ada dia memahami atau sebaliknya apa yang dilakukan itu.

Malah, ada OKU yang melakukan kesalahan tanpa disedari termasuk dituduh mencuri, gara-gara mengikut arahan individu lain.

Wakil Guru Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan, Chin Li Hoong, berkata gangguan seksual membabitkan golongan OKU berlaku kerana mereka tidak tahu cara betul atau tidak sedar perbuatan berkenaan adalah menyalahi budaya dan undang-undang.

“Sebagai manusia biasa, mereka juga berkeinginan menjalinkan hubungan tetapi tidak tahu cara yang betul ditambah dengan pengaruh pornografi dalam media sosial pada masa kini.

“Justeru, kalau ada pelajar yang mengatakan mereka ingin berkahwin, jangan pandang remeh dan cuba menjelaskan apakah tanggung jawab dan keperluan apabila berkahwin.

“Bagaimanapun, perkahwinan bagi OKU, bukan sesuatu yang mustahil sekiranya ada sokongan daripada keluarga dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, bagi memberikan kefahaman mengenai seksualiti, subjek berkaitan mengenali fisiologi sendiri diperkenalkan dalam pendidikan khas di sekolah bagi menjelaskan bahagian sulit dan tidak boleh ditunjuk atau dipegang di khalayak ramai.

Ibu anak autisme, Khor Sor Li, berkata banyakkan sabar mendidik kanak-kanak OKU kerana mereka perlu diingatkan mengenai sesuatu perkara berulang kali berbanding anak normal lain.

“Saya mengambil masa lapan bulan mengajar anak ke tandas dan membersihkan diri sebelum mula masuk ke sekolah.

“Jangan putus asa mendidik walaupun ia mungkin memakan masa berbulan atau bertahun. Saya syorkan ibu bapa mengajar anak mengenai fisiologi mereka sejak kecil satu-persatu supaya mereka tahu tubuh mereka perlu dilindungi,” katanya.

383 dibaca
Berita Harian X