Jumaat, 6 September 2019 | 9:00am
Pedofilia disenaraikan dalam manual diagnostik dan statistik sebagai masalah mental sejak 1968. - Foto hiasan

Pedofilia gangguan mental kronik

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang pasif dan penakut lebih berisiko menjadi mangsa penderaan seksual dalam kalangan pedofilia.

Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata pedofilia mencari mangsa dengan memerhati dari jauh dan jika ada peluang, mereka mendekati mangsa.

Katanya, pedofilia selalunya akan ‘melihat’ potret kanak-kanak dengan ghairah walau gambar berkenaan biasa saja atau berpakaian sempurna.

Justeru, ibu bapa dinasihatkan tidak memuat naik gambar anak di laman sosial, terutama dalam keadaan tidak sempurna termasuk dari segi berpakaian bagi mengelak terdedah kepada pedofilia.

“Pedofilia adalah penyakit mental kronik yang menyebabkan penghidapnya berasa ghairah apabila melihat kanak-kanak atau gambar mereka.


Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, UPM, Siti Fatimah Abdul Ghani. - NSTP/Azhar Ramli

“Ada pedofilia hanya menyimpan gambar bagi memenuhi keperluan nafsu, pada masa sama mempunyai kecenderungan melakukan jenayah seksual,” katanya mengulas mengenai isu berkenaan hingga mengganggu keselamatan kanak-kanak.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan kerajaan akan memperincikan pendaftaran individu dengan kesalahan memiliki bahan lucah kanak-kanak, termasuk yang dihukum di luar negara.

Ini susulan kerisauan orang ramai apabila seorang pelajar didapati bersalah kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London pada 2015, melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Siti Fatimah berkata, Persatuan Psikiatrik Amerika (APA) sudah menyenaraikan pedofilia ke dalam manual diagnostik dan statistiknya sebagai masalah mental sejak 1968 lagi.

Gangguan ini disebabkan oleh fantasi seksual yang berulang, dorongan seksual, atau tingkah laku membabitkan kanak-kanak, subjek bukan orang dewasa atau pasangan seseorang.

Bagaimanapun katanya, tidak semua pedofilia adalah pencabul kanak-kanak atau sebaliknya.

“Ada banyak sebab seseorang menghidapi penyakit itu, antaranya orientasi seksual dialami ketika kecil, mungkin pernah disentuh, dirangsang atau pendedahan terhadap perlakuan itu pada zaman kanak-kanak.

“Ketika kecil, minda mereka di bawah sedar. Apabila menyimpan memori ia akan kekal berbanding minda sedar. Minda bawah sedar merangkumi, latar belakang, didikan dan agama,” katanya.

Beliau berkata, hanya 30 peratus minda sedar yang mempengaruhi seseorang faham apa berlaku atau yang dilakukan termasuk terbabit dalam jenayah.

Katanya, dengan pengaruh persekitaran yang mudah mengakses pelbagai maklumat juga menggalakkan keinginan yang berlawanan dengan norma hidup normal.

Siti Fatimah berkata, penyakit mental boleh dipulihkan tetapi sangat sukar kerana membabitkan emosi dan proses baik pulih bergantung kepada kesediaan pesakit sendiri untuk berubah.

Katanya, pesakit perlu mempunyai kesedaran dan bersungguh-sungguh untuk berubah tanpa paksaan kerana perubahan tidak akan berlaku secara mutlak.

“Sebaiknya pesakit sendiri yang datang berjumpa pakar psikiatri atau psikologi untuk mendapatkan bantuan pencegahan bukan atas desakan orang lain.

“Kes membabitkan pedofilia dipandang serius di negara Eropah seperti United Kingdom dan Jerman. Malah mereka mempunyai sistem yang boleh mengesan dan menahan seseorang yang melayari atau memuat turun gambar kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, hukumannya serius iaitu, dipenjara dan pesalah perlu melakukan kerja sosial mengikut tempoh ditetapkan, selain menjalani program pemulihan khas.

Siti Fatimah berkata, tidak dinafikan peluang kedua harus diberikan kepada pesalah tetapi sejauh mana proses intervensi sudah dilalui perlu diambil kira.

Katanya, mereka perlu dirujuk kepada pakar psikiatri terlebih dulu selain melalui program pemulihan khas.

“Tempoh pemerhatian sekurang-kurangnya setahun dengan pemantauan berterusan iaitu setahun intervensi dan dua tahun pemantauan,” katanya.

Selain itu, beliau menyarankan supaya pangkalan data penjenayah, terutama membabitkan kesalahan seksual kanak-kanak perlu diwujudkan kerana ia adalah ‘penyakit’ yang sukar diubati.

“Ini boleh dilakukan dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Malah, kes yang belum diselesaikan perlu mendapat akses masyarakat supaya orang ramai diberikan maklumat dan perincian mengenainya,” katanya.

Berita Harian X