Selasa, 10 September 2019 | 11:16am
ORANG ramai berpeluang melihat lebih dekat kuda yang terdapat di Denai Alam Recreational and Riding Club, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
PESERTA yang menyertai pertandingan DARC Battle Of The Riders di Denai Alam Recreational and Riding Club, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
PESERTA yang menyertai pertandingan DARC Battle Of The Riders di Denai Alam Recreational and Riding Club, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Aktiviti berkuda erat hubungan keluarga

SHAH ALAM: Bertubuh kecil bukan bermakna seseorang itu lemah atau tidak mampu menyerlah. Seperti perumpamaan, kecil-kecil cili padi.

Pepatah itu jelas menggambarkan kecekapan aksi penunggang kuda cilik yang bakatnya ditonjolkan menerusi aktiviti berkuda.

Mereka bukan saja tangkas mengawal kuda tunggangan, tetapi dengan pakaian bersesuaian, but, topi dan peralatan keselamatan lain, aksi mereka tampak profesional, meyakinkan dan mempunyai daya tumpuan.

Kemahiran dan aspek keselamatan diterapkan memberi keyakinan ibu bapa membenarkan anak mengikuti aktiviti berkuda sebagai kegiatan masa lapang.


KUDA termahal yang terdapat di Denai Alam Recreational and Riding Club, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Bagi Isabelle Aryssa Sophia Mohamed Arlizam, 9, dari USJ 19, Shah Alam, Selangor, minat berkuda sejak berusia empat tahun dan berazam untuk mahir dalam bidang itu.

“Sejak lima tahun lalu, tiga atau empat kali seminggu saya mengikuti kelas menunggang kuda dan buat kali pertama menyertai Battle of The Riders, iaitu pertandingan dalaman antara peserta bagi menilai kemampuan dan prestasi masing-masing.

“Dulu tidak tahu langsung cara menunggang, tetapi kini semakin mahir. Ibu bapa saya memberikan galakan dan sokongan, selain mengikuti kelas saban minggu,” katanya.

Cungkil bakat muda

Beliau antara 30 peserta menyertai Kejohanan Menunggang Kuda di Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC), Denai Alam pusat komuniti yang membuka keahlian keluarga bagi aktiviti berkuda dengan bayaran berpatutan.


KUDA termahal yang terdapat di Denai Alam Recreational and Riding Club, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Kejohanan tertutup bagi tahun ketiga bertujuan mencungkil bakat menunggang kuda dalam kalangan ahli kelab dengan ia ditaja Equine Nutrition Australasia (ENA).

Remaja dari Sungai Long, Kajang, Selangor, Shaniah Khor Ke Syuen, 15, berkata beliau mula mempelajari berkuda sejak tiga bulan lalu dan kemudian mengikuti kelas secara intensif.

“Sebelum ini, banyak aktiviti luar kelas seperti olahraga dan kelas renang disertai, tetapi merasakan aktiviti berkuda lebih menarik kerana dapat meningkatkan keyakinan diri, mengeratkan hubungan dengan haiwan dan membantu menunggang secara praktikal.

“Saya juga belajar cara memberi makan, membersihkan kandang dan apa saja penjagaan kuda, sekali gus meningkatkan rasa sayang terhadap haiwan liar ini,” katanya.

Bagi Putri Qaisara Rosli, 11, berkata beliau kini semakin yakin menunggang kuda dan berani menyertai pertandingan bagi menguji kemampuan diri.

Aktiviti hujung minggu

“Tak kira berapa lama kita belajar, janji dapat mengukuhkan kemahiran dan tahap latihan berbeza membuatkan lebih berani menunggang.


PESERTA yang menyertai pertandingan DARC Battle Of The Riders di Denai Alam Recreational and Riding Club, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

“Biarpun kelas dibuat beberapa kali seminggu, saya sentiasa tertunggu-tunggu untuk sesi kelas berikutnya kerana keterujaan bermain dengan kuda tidak pernah hilang,” katanya.

Kakitangan swasta, Mutiara Adnan, berkata kewujudan DARC membantu beliau membuat pilihan mudah untuk aktiviti hujung minggu anak bongsunya, Hannah Iman Affandy, 12, yang mempunyai keperluan khas.

“Saya mula menghantarnya setahun lalu nampak banyak perubahan positif, terutama membabitkan daya, fokus, koordinasi dan postur badan yang semakin baik biarpun setiap kelas itu hanya dibuat dalam tempoh sejam.

“Dia nampak berminat belajar dan aktiviti ini tidak berbahaya kerana ada jurulatih berpengalaman mengajarnya,” katanya yang tinggal di Kota Damansara.

Sementara itu, keahlian bayaran mengikuti latihan berkuda murah, kurang RM300 untuk sekeluarga membolehkan golongan kurang berkemampuan menyertai aktiviti ini.

Pengasas DARC, Terry Teo, berkata sememangnya tidak menjana keuntungan tetapi cukup memberi kepuasan kerana menarik minat kalangan mereka yang susah, tetapi mempunyai bakat untuk berlatih secara konsisten atau menjadi pencetus kepada pembabitan aktiviti ini.

Penuhi impian semua

“Ketika remaja, saya hanya mampu melihat kuda dari jauh dan memasang impian untuk menunggangnya pada masa depan.

“Syukur pada 2010, saya berjaya mewujudkan DARC, sekali gus memenuhi impian semua orang yang kurang berkemampuan tetapi teringin menunggang kuda, menjadi kenyataan,” katanya.

Lebih istimewa di kelab berkenaan, Teo menempatkan seekor kuda jantan dari spesies jarang ditemui, iaitu Akhal-Teke Perlino, berwarna putih mutiara.

Uniknya baka dari Turkmenistan memantulkan kilauan keemasan mutiara pada bulu terutama apabila terkena silauan cerah matahari atau berpeluh.

Menurut ahli perniagaan ini, Akhal-Teke adalah spesies kuda yang menjadi lambang kebangsaan Turkmenistan kerana jarang ditemui dengan keunikannya yang memiliki kilauan emas semula jadi pada bulunya sering diidamkan golongan elit dan kerabat diraja.

“Spesies Akhal-Teke ini mempunyai 3,500 di seluruh dunia, tetapi jenis Perlino ini hanya 50, menjadikannya spesies jarang ditemui.

“Baka ini dinobatkan sebagai spesies kuda paling cantik kerana memiliki aura bulu berwarna putih mutiara keemasan, bermata biru dan berpeluh dengan warna merah jambu.

“Jadi kehadiran kuda berusia 36 bulan yang kini berharga RM3.6 juta ini menjadikan saya pemilik bertuah di Asia Tenggara berikutan berjaya memiliki sepasang kuda unik ini yang pasangannya kini berada di Thailand, untuk jagaan dan pembiakan,” katanya.

Info

Kelebihan aktiviti berkuda

- Meningkatkan asas kemahiran menunggang dan merapatkan hubungan kekeluargaan.

- Membolehkan keluarga meluangkan masa berkualiti bersama.

Rapatkan hubungan kekeluargaan

- Aktiviti boleh disertai seisi keluarga.

- Berkongsi minat sama dan bersama mengikuti aktiviti riadah

- Menunggang mencungkil bakat terpendam anak

Berita Harian X