Rabu, 25 September 2019 | 10:05am
Agen Takaful, Zaiton Osman di Tower 11A, Bangsar. - Foto Syarafiq Abd Samad

Jujur dan amanah kunci kejayaan perunding takaful

KUALA LUMPUR: Kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha gigih dan semangat untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang diceburi meskipun pelbagai pahit getir serta halangan perlu diharungi.

Bidang perundingan insurans umpamanya, antara kerjaya menarik kerana perlu berjumpa dengan pelbagai peringkat usia dan latar belakang individu, malah pekerjaan ini mampu menjana pendapatan lumayan.

Penerima Anugerah Mega Takaful Ikhlas General Berhad, Zaiton Osman, 53, membuktikan beliau mampu melakukan tugas itu dengan meneruskan perjuangan arwah suaminya yang mengendalikan khidmat rundingan insurans sejak sejak 12 tahun lalu.

Katanya, terdahulu suaminya gigih membangunkan syarikat pengurusan insurans dengan penuh keazaman untuk membantu mereka sekeluarga keluar daripada kepompong kemiskinan.

Selepas kematian suami, beliau meneruskan usahanya mengendalikan pelanggan sedia ada dan yang baharu. Pelbagai halangan dilalui dan ini menguatkan semangat meneruskan legasi arwah.

14 cawangan seluruh negara

“Alhamdulillah, dengan bantuan anak, kami sama-sama membangunkan syarikat keluarga ini. Berkat semangat dan usaha gigih, kini kami sudah memiliki 14 cawangan syarikat insurans di seluruh negara.

“Semua anak bekerja sebagai ejen insurans sepenuh masa,” katanya yang menerima anugerah berkenaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut.

Zaiton berkata, sebelum ini beliau pernah mencari rezeki dengan menulis dokumen untuk pelanggan yang ingin membuat urusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di Kampung Jawa, Shah Alam.

“Ketika itu, saya hanya menjalankan operasi di bawah pokok. Siapa tidak kenal Kak Ton. Saya membuka meja dan meletakkan mesin taip yang sudah rosak di tepi, mengambil upah menaip secara konvensional,” katanya yang ditemui di sini baru-baru ini.

Zaiton ibu lima anak berkata, ketika itu beliau membulatkan tekad berusaha mencari rezeki dengan memberikan perkhidmatan menyiapkan dokumen pelanggan dengan sempurna.

“Saya tekad membina kehidupan untuk meningkatkan pendapatan keluarga. Oleh itu, saya memberanikan diri membuka kios di hadapan JPJ, berbekalkan sedikit wang simpanan. Saya membeli van untuk memudahkan pengangkutan.


Samian Senin (kiri) bersama Zaiton Osman menunjukan Trofi yang dimenangi anugerah Takaful Ikhlas 2018/2019 di Tower 11A, Bangsar. - Foto Syarafiq Abd Samad

Urus 170 perunding

Perasaan sama dikongsi penerima Anugerah Mega Takaful Ikhlas Family Berhad, Samian Senin dengan anugerah tertinggi organisasi berkenaan buat kali kelima tahun ini.

Beliau berkata jika direnung zaman kejatuhan dulu, beliau tidak pernah menjangka menjadi seorang pemimpin di sebuah syarikat insurans dengan 170 perunding di bawahnya.

“Saya bermula sebagai pekerja di sebuah bank dan pendapatan ketika itu agak baik. Pada mulanya tidak ada minat menjadi ejen insurans. Namun memandangkan isteri majikan juga ejen, dia memaksa saya menyertai program kendaliannya.

“Saya pernah berhenti kerja kerana merancang memulakan perniagaan, namun gagal. Amat terkejut kerana ketika menganggur saya dapati ada komisyen masuk akaun kerana pernah ada pelanggan ketika menjadi ejen sebelum ini.

“Selepas memikirkan sebenarnya inilah pekerjaan yang tidak memerlukan modal, saya teruskan usaha menawarkan khidmat rundingan insurans kepada pelanggan dengan penuh bersemangat,” katanya.

Disiplin kunci kejayaan

Sepanjang 17 tahun bertugas sebagai perunding, Samian sentiasa memegang amanah arwah ayahnya yang dianggap sebagai guru dalam perniagaan yang diceburinya.

“Arwah ayah pesan, apa saja bidang yang diceburi perlu istiqamah, jujur dan disiplin selain percaya setiap rezeki datangnya dari Allah SWT.

“Cuma pesan saya, jangan menceburi bidang ini dengan niat untuk menjadi kaya semata-mata. Sebagai ejen kita perlu ikhlas berkhidmat menyalurkan maklumat tepat,” katanya.

Meskipun, pada awalnya beliau pernah hilang semangat apabila 14 perunding yang dilatih selama setahun, berpindah mengikuti syarikat lain selepas segala ilmu dan kelebihan dimiliki dikongsi.

Anugerah Takaful Ikhlas diperkenalkan sejak penubuhannya pada 2005 bagi memberi pengiktirafan kepada setiap ahlinya berusaha membangunkan perniagaan sendiri dengan sokongan mereka.

“Pengalaman itu paling mengecewakan. Saya memberikan yang terbaik kepada perunding untuk belajar menjadi ejen.

Mereka disediakan kemudahan penginapan, pengangkutan secara percuma, malah mendapat elaun setiap bulan, namun lari ke syarikat lain.

“Begitupun dalam perniagaan perlu teruskan dengan melatih perunding lain untuk membangunkan syarikat sehingga berjaya ke peringkat ini,” katanya yang menyasarkan pendapatan sebanyak RM15 juta tahun ini.

Berita Harian X