Isnin, 7 Oktober 2019 | 3:25pm

Kurang sentuhan fizikal punca seksual merudum

SHAH ALAM: Banyak faktor membawa kepada punca perceraian seperti curang dan tiada sefahaman sehingga memberi kesan kepada pasangan sepanjang tempoh perkahwinan matang.

Pakar Hubungan dan Intimasi, Diyana Tahir, berkata saban tahun data menunjukkan peningkatan kes bercerai terutama dalam kalangan pasangan Islam dan tidak seharusnya dipandang remeh.

Katanya, lazimnya kes perceraian disebabkan wujud orang ketiga, campur tangan keluarga, hubungan hambar selain ada bercerai disebabkan perkara remeh seperti masalah dengkur, isteri gemar membasuh pakaian pada waktu malam dan perbezaan pendapatan.

“Laporan Jabatan Statistik menunjukkan sejumlah 99,838 perkahwinan direkodkan pada 2017 dengan 39,709 kes perceraian bagi pasangan Muslim.

“Sejumlah 56,524 perkahwinan dan 10,258 perceraian dicatatkan menerusi 56,524 perkahwinan didaftarkan membabitkan bukan Islam.

“Laporan pada 2016, pula mencatatkan 103,595 perkahwinan didaftarkan dan daripada jumlah itu 41,039 perceraian direkodkan bagi pasangan Muslim, pada 2016, manakala 57,562 kes perkahwinan dengan 10,612 perceraian bagi bukan Islam,” katanya.

Bertitik tolak pengalaman sendiri yang pernah melalui kegagalan rumah tangga, Diyana, ibu kepada cahaya mata tunggal berusia 20 tahun, tekad mencari punca perceraian.

Beliau berkata, faktor utama tidak begitu mengenali atau memahami kehendak pasangan selain disebabkan diri sendiri yang terlalu menginginkan kehidupan ideal tanpa masing-masing berbincang dari hati ke hati bagaimana membina hubungan bersama.

Terbuka bincang hubungan intim

Justeru, selepas mempelajari secara profesional bagaimana faktor keintiman memainkan peranan di mana masyarakat kita masih 'malu' berkongsi perkara berkaitan seksual secara umum jadi saya memilih platform dalam talian untuk memecahkan faktor taboo itu," katanya kepada BH, baru-baru ini.


Diyana menunjukkan platform Facebook, Kembali Bercinta. - NSTP/Faiz Anuar

Diyana berkata, menggunakan platform laman sosial Facebook bertujuan mengetengahkan program dalam talian ehati, iaitu Kembali Bercinta yang mempunyai lebih 20,000 pengikut diperkenalkan kepada kelompok wanita kira-kira dua tahun lalu.

"Saya akan mengadakan sesi perkongsian secara langsung bagi memenangi semula hati pasangan, mengajarkan 'jampi' supaya hubungan kembali hangat seperti zaman bercinta.

"Alhamdulillah kira-kira 90 peratus wanita yang dalam proses perceraian membatalkannya kerana mereka kembali mengubah ketrampilan diri, memahami keinginan suami, mengembalikan keintiman dalam perhubungan.

"Sebenarnya saya membawakan konsep terapi hati yang juga mengetengahkan hipnoterali, iaitu Teknologi eHati. Konsep sains psikoterapi dan hipnosis secar holistik, bagaimana memupuk kembali kasih sayang dan mensyukuri diri.

“Pasangan juga diberi panduan supaya lebih bertolak ansur dengan memaafkan selain berdamai hingga terbuka dalam hal keintiman supaya kedua-dua pihak mencapai kepuasan seksual," katanya.

Beliau berkelayakan dengan tauliah sebagai Master NS-NLP dari International Society of Neuro-Semantics (Amerika Syarikat), jurulatih berdaftar Hypnotheraphy dan Grand Master Hypnotherapist (ENH, IND).

Tingkat sentuhan fizikal

“Turut bertindak sebagai fasilitator berdaftar Breathwork, terapi bertauliah Biodynamic dan Somatic, terapi berdaftar Encounter dan kepakaran berkenaan seksual dan keintiman, membantunya mengendalikan pelbagai kes, " katanya.

Katanya, masyarakat sering menjadikan orang lain sebagai contoh atau ikutan sedangkan setiap individu  mempunyai karektor sendiri dan setiap pasangan harus memiliki cara sendiri.

"Dalam mengeratkan hubungan intim, pasangan perlu mempunyai cara sendiri, selain perlu bijak berkomunikasi misalnya ada orang yang gemarkan sentuhan fizikal, sentiasa di sisi, keselesaan dan layanan batin yang sempurna.

“Saya bersama suami mahu mendidik masyarakat supaya mencapai keseimbangan, gaya hidup dan seksual sihat kerana ada lelaki yang mahu berpoligami atas pelbagai alasan.

"Selain itu, program Kembali Bercinta turut menekankan kepada kaedah menangani masalah rumah tangga. Contohnya disebabkan masalah seksual yang merudum, mencadangkan amalan gaya hidup sihat," katanya.

Berita Harian X