Sabtu, 26 Oktober 2019 | 11:00am
Ahli panel program ‘Healthy Is The New Happy! A Better You Today’, Rena Rifaee (kiri), Datin Diana Danielle (dua dari kiri), Datin Harveen Kumar (tengah) dan Dr Linda Mat Hassin.

Wanita perlu bijak tangani tekanan

KUALA LUMPUR: Wanita perlu bersedia menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan harian dan belajar menangani secara rasional untuk kehidupan lebih harmoni.

Saranan itu disampaikan menerusi program ‘Healthy Is The New Happy! A Better You Today’ anjuran pengeluar kosmetik penjagaan wajah berasaskan bahan organik Natugee.

Program yang dijayakan bersama penganjur Mrs Malaysia World turut memberi inspirasi kepada golongan sasar supaya lebih berdaya saing menghadapi cabaran mendatang.

Ketua Pegawai Eksekutif Natugee Sdn Bhd, Rena Rifaee, berkata program sebahagian tanggungjawab sosial korporatnya sempena kempen Pinktober dengan memberi kesedaran mengenai pencegahan kanser payudara.


Rena Rifaee memberi penerangan mengenai salah tanggapan wanita mengenai kulit dan produk penjagaan wajah.

Beliau tidak menafikan kesibukan mengurus rumah tangga menyebabkan ramai wanita mengabaikan kesihatan mereka.

Katanya, keadaan ini tidak sihat sehinggakan mereka berhadapan situasi tekanan yang kritikal hingga boleh menjejaskan tumpuan kepada keluarga dan anak-anak.

Kongsi kepakaran bimbing wanita

“Kami mengambil inisiatif menganjurkan program penjagaan kesihatan sebagai tanda prihatin terhadap masalah kesihatan mental dan fizikal dalam kalangan wanita yang jumlahnya bertambah.

“Peranan wanita besar, mereka memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, pada masa sama menjadi anak kepada kedua-dua orang tua. Pekerja atau memiliki perusahaannya sendiri dengan bertindak sebagai majikan,” katanya pada sesi pelancaran program, berlangsung di sini baru-baru ini.

Rena berkata, program ini mendidik wanita tidak mengambil ringan terhadap kesihatan diri. Contohnya penggunaan produk penjagaan wajah. Kita mungkin tidak tahu ada sesetengah kandungan produk kecantikan boleh mengganggu hormon, seterusnya menjejaskan kesihatan dalaman mahupun luaran.

“Kami berhasrat membantu wanita dengan meningkatkan kesedaran mengenainya dan membina keyakinan serta kekuatan diri dalam menempuh cabaran dunia hari ini,” katanya.

Antara pengisian program itu sesi perkongsian bersama pengamal perubatan, Dr Norhaslinda Mat Hassin yang memberi pendedahan mengenai simptom ketidakseimbangan hormon hingga memberi kesan kepada kesihatan dan gaya hidup.

Sesi duanya bersama pengasas Natugee yang memberi bimbingan wanita kepada topik salah tanggapan produk penjagaan wajah. Walaupun bersifat kosmetik namun tidak dinafikan antara penyumbang kepada permasalahan wanita.

Acara kemuncak ialah forum ‘A New Formula For Happiness!’ membincangkan kesihatan kulit, hormon, pengurusan tekanan dan kesihatan mental. Dikendalikan empat ahli panel masing-masing iaitu Rena, Dr Linda, ratu cantik Mrs Malaysia World, Datin Harveen Kaur dan pelakon Datin Diana Danielle.

Atasi tekanan, elak murung

Pada perkongsian itu, Diana berkongsi pengalaman kerana menderita gangguan kebimbangan melampau hingga menyebabkannya tertekan hingga mengalami kemurungan.

“Kesibukan bekerja, menguruskan anak dan perniagaan menyebabkan saya sukar tidur hingga membawa kepada tekanan. Kemudiannya sukar bernafas hingga beberapa hari.

“Awalnya menyangka serangan asma kerana pernah menghidapinya dulu tetapi keadaan kritikal hingga terpaksa bertarung nyawa untuk bernafas hingga terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.

Akuinya, gangguan kebimbangan melampau memberi kesan dalam kehidupan sehariannya. Namun beliau bersyukur kerana ibunya prihatin dan memberi sokongan kepadanya.

Berkongsi pengalaman berhadapan tekanan, Rena berkata gaya hidup, tekanan kerja dan masalah kesihatan yang dihadapi anaknya turut menjejaskan kesihatan beliau. Situasi lebih tegang setelah melahirkan cahaya mata keempatnya.

“Saya menyertai sebuah kumpulan komuniti dan mendapati banyak faktor menyumbang kepada tekanan. Saya mulakan dengan mengubah cara hidup lebih sihat dan ambil sajian seimbang,” katanya.

Sementara itu Harveen berkongsi kisahnya yang tidak berputus asa menyertai Mrs Malaysia World walaupun pada awalnya gagal menempatkan diri. Atas kegigihan itu, beliau kemudiannya dimahkotakan sebagai Mrs World Malaysia 2017.

Beliau menggalakkan wanita supaya sentiasa menjaga kesihatan, membina keyakinan diri dan menyerlahkan keperibadian sebagai wanita, isteri dan ibu, seterusnya menjadi inspirasi kepada yang lain.

Berita Harian X