Isnin, 25 November 2019 | 1:02pm
MAIS menyampaikan sumbangan kepada ketika Program Ziarah Asnaf bersama di Kampung Sungai Raya, Cheras. NSTP - Azhar Ramli
MAIS menyampaikan sumbangan kepada ketika Program Ziarah Asnaf bersama di Kampung Sungai Raya, Cheras. NSTP - Azhar Ramli

65,000 keluarga asnaf, miskin dibantu

Kuala Lumpur: Jumlah golongan fakir dan miskin berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) hampir mencecah 70,000 orang, tahun ini berikutan kebanyakan ketua keluarga terutama suami mengalami masalah kesihatan atau kemalangan yang menyebabkan mereka kehilangan kerja serta sumber pendapatan.

Ada sesetengah ketua keluarga, iaitu suami pula terpaksa berhenti kerja kerana terpaksa menjaga isteri yang sakit dan menguruskan anak-anak.

Ketua Operasi Agihan Daerah Hulu Langat LZS, Mohd Aqmal Jais, berkata sehingga kini pihaknya sudah membantu 65,000 keluarga asnaf fakir miskin sepanjang tahun ini.

Katanya, di sekitar Hulu Langat sahaja lebih 9,000 fakir miskin yang berdaftar dengan LZS sehingga hari ini yang kebanyakannya yang dikenal pasti mempunyai masalah kesihatan dan kecacatan akibat kemalangan dialami.

“LZS memberi penekanan memenuhi keperluan asasi seperti bantuan kewangan bulanan, makanan bulanan, pendidikan, sewa rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ziarah Agensi LZS (Majlis Agama Islam Selangor) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), cawangan Cheras, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pengurusan Kredit TNB, Zai Azrin Zainorin.

Mohd Aqmal, berkata aktiviti rutin yang bersifat turun padang itu bertujuan menyelami kelangsungan hidup asnaf, di samping melihat keperluan lain yang layak disantuni oleh Zakat Selangor.

Pada masa sama, Zakat Selangor turut mengemas kini maklumat keluarga dan tanggungan hasil daripada ziarah itu.

“Aktiviti ziarah asnaf fakir, miskin ini juga memberi ruang Zakat Selangor beramah mesra dan mendekati golongan ini di samping mendapatkan maklum balas secara terus mengenai keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di negeri ini.

“Program kali ini membabitkan 10 rumah di sekitar Masjid Batu 10 Cheras. Turut menjayakan program ini adalah Amil Kariah dan Pengerusi Majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) Batu 10 Cheras,” katanya.

Katanya LZS berharap masyarakat bekerjasama dengan tidak terburu-buru menularkan kisah golongan asnaf di media sosial, sebaliknya terus melaporkan masalah ditemui ke cawangan LZS berhampiran.

Skuad Jejak Kemiskinan diwujudkan di setiap daerah dan dijalankan dengan kerjasama Penolong Amil Kariah, pemimpin setempat, badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat dan media untuk menyalurkan maklumat.

NIZAL Azli Zainuddin, 41, (tengah) sambil ditemani isterinya, Noryanti Mohamad Yatim, 38, (dua dari kiri) ketika Program Ziarah Asnaf bersama Agensi Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan Tenaga Nasional Berhad Cawangan Cheras di Kampung Sungai Raya, Cheras. NSTP - Azhar Ramli
NIZAL Azli Zainuddin, 41, (tengah) sambil ditemani isterinya, Noryanti Mohamad Yatim, 38, (dua dari kiri) ketika Program Ziarah Asnaf bersama Agensi Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan Tenaga Nasional Berhad Cawangan Cheras di Kampung Sungai Raya, Cheras. NSTP - Azhar Ramli

Lima program utama iaitu program pembangunan sosial, pembangunan pendidikan, pembangunan insan, pembangunan ekonomi dan pembangunan institusi agama turut dijalankan sebagai bantuan zakat untuk jangka masa panjang.

Bapa tiga anak, Bakri Palilu, 41, berkata beliau terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori untuk menguruskan isterinya, Syamsiah Udin, 38, yang mengalami penyakit saraf sejak 2017, selain anak ketiganya yang berusia empat tahun yang terlantar sakit akibat jangkitan paru-paru.

Beliau terpaksa berhenti kerana perlu memberikan tumpuan kepada anak dan isteri yang kebetulan sakit serentak. Malangnya anak saya itu meninggal dunia dua tahun lalu.

“Bagi menambah pendapatan, saya bekerja sebagai penghantar makanan sejak dua tahun lalu dengan pendapatan bulanan antara RM1,300 sehingga RM1,500,” katanya ditemui pada Program Ziarah Agensi LZS (Majlis Agama Islam Selangor) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), cawangan Cheras, baru-baru ini.

Bakri berasal dari Tawau, Sabah, berkata sebelum keluar bekerja dan akan memandikan arwah anak serta menyiapkan anak ke sekolah.

Beliau menerima bantuan sewa rumah sebanyak RM600 sebulan, bantuan makanan bulanan E-Petrol iaitu pembelian menerusi kedai atau pasar raya ditetapkan dan didaftarkan di bawah LZS dan bantuan pendidikan sekolah dan hari raya.

Mohd Aqmal Jais. NSTP - Azhar Ramli
Mohd Aqmal Jais. NSTP - Azhar Ramli

Noryanti Mohamad Yatim, 38, terpaksa menjaga suaminya, Nizal Azli Zainuddin,41, yang mengalami masalah saraf di bahagian kaki sejak tahun 2005 akibat kemalangan jalan raya.

Ibu kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun ini terpaksa mencari pendapatan dengan mengasuh anak saudara dengan pendapatan RM400 sebulan dan pada masa sama menguruskan suami dan anak.

“Suami disahkan mengalami penyakit saraf pada tahun 2005 dan keadaan bertambah buruk apabila mengalami kemalangan kereta tiga tahun kemudian.

“Sejak itu, dia terlantar dan tidak dapat bekerja tetapi masih menerima gaji daripada kilang tempat dia bekerja sehingga 2015, pemberian gaji dihentikan kerana suami disahkan doktor tidak boleh bekerja,” katanya.

Noryanti menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM400, bantuan makanan bulanan, sewa rumah, pendidikan anak dan hari raya.

Berita Harian X