Rabu, 11 Disember 2019 | 9:56am
SEKARANG hanya 208 pegawai sahaja yang menjadi pegawai bagi kira-kira 9.4 juta kanak-kanak di seluruh negara. - Gambar hiasan
SEKARANG hanya 208 pegawai sahaja yang menjadi pegawai bagi kira-kira 9.4 juta kanak-kanak di seluruh negara. - Gambar hiasan

Malaysia perlu 1:30 pegawai pelindung kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Negara ini memerlukan nisbah 1:30 pegawai sebagai pelindung kanak-kanak sejajar dengan piawaian antarabangsa bagi menangani pelbagai isu berkaitan golongan itu secara tuntas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Hannah Yeoh, berkata pihaknya berharap bilangan pelindung kanak-kanak dapat ditambah berikutan isu keganasan membabitkan kanak-kanak di negara ini semakin meningkat.

Katanya, kementerian ketika ini mempunyai nisbah 1:80 dan seharusnya dipertingkatkan lagi mengikuti piawaian antarabangsa.

“Justeru, kita sudah mengemukakan cadangan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai usaha mendepani pelbagai masalah berkaitan pemeliharaan kanak-kanak dalam keadaan kekurangan pegawai pelindung di negara ini.

“Cadangan penambahan pegawai Pelindung dan Pegawai Akhlak secara kontrak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikemukakan KPWKM kepada JPA baru-baru ini.

“Kelulusan peruntukan bagi kedua-dua jawatan ini pula akan diteliti oleh Kementerian Kewangan,” katanya kepada BH Online.

BILANGAN pelindung kanak-kanak perlu ditambah berikutan isu keganasan membabitkan golongan itu semakin meningkat. Gambar hiasan
BILANGAN pelindung kanak-kanak perlu ditambah berikutan isu keganasan membabitkan golongan itu semakin meningkat. Gambar hiasan

Sebelum ini, KPWKM mencadangkan penambahan bilangan pelindung kanak-kanak yang kini hanya mempunyai 208 pegawai sahaja bertujuan melindungi kira-kira 9.4 juta kanak-kanak di seluruh negara.

Yeoh berkata, unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sudah menjalankan Kajian Pengurusan Organisasi JKM bermula pada Disember 2018 hingga Mei lalu.

Kajian menunjukkan perbandingan nisbah pekerja sosial berbanding populasi penduduk mengikut negara ini masih kurang.

“Nisbah pekerja bagi Malaysia ialah 1:8576, manakala Singapura (1:3448); Amerika Syarikat (1:490); United Kingdom (1:3025) dan Australia (1:1040).

“Ketika ini, nisbah pelindung JKM dengan bilangan kes ialah 1:80 kes berbanding piawaian antarabangsa 1:15 hingga 35 kes,” katanya.

Beliau berkata, individu yang berminat untuk mengisi kekosongan jawatan pelindung kanak-kanak boleh berbuat demikian selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan.

“JKM akan mengeluarkan iklan kekosongan jawatan selepas cadangan penambahan pegawai pelindung dan pegawai akhlak secara kontrak ini diluluskan kerajaan,” katanya.

Individu yang berminat dan layak serta memenuhi syarat yang akan ditentukan boleh membuat permohonan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Namun, katanya tiada keutamaan diberikan kepada mana-mana pihak memandangkan pengisian jawatan adalah tertakluk kepada syarat yang akan ditentukan dan kelayakan individu itu.

“Pelantikan pelindung dan pegawai akhlak ini akan dibuat secara kontrak sementara KPWKM membuat pengisian jawatan secara tetap secara berperingkat yang mana memerlukan peruntukan kewangan yang besar serta perlu mendapat kelulusan JPA dan Kementerian Kewangan.

Hannah Yeoh. NSTP - Aziah Azmee
Hannah Yeoh. NSTP - Aziah Azmee

“Badan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang berminat dalam aspek perlindungan kanak-kanak boleh membuat permohonan dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) atau JKM Negeri sebagai Pembantu Pelindung.

“Mereka yang layak dan melepasi tapisan akan dilantik oleh menteri di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 sebagai Pembantu Pelindung,” katanya.

Berita Harian X