Isnin, 16 Disember 2019 | 4:08pm
NAIB Yang Dipertua, Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Jasmadin Budin.
NAIB Yang Dipertua, Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Jasmadin Budin.

Tindakan tegas jika ibu bapa gagal daftar anak OKU

KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang memiliki anak orang kurang upaya (OKU) perlu lebih bertanggungjawab menjaga kebajikan dengan mendaftarkan mereka segera bagi membolehkan masing-masing menikmati manfaat disediakan kerajaan.

Ini berikutan masih ramai lagi ibu bapa enggan berbuat demikian atas pelbagai alasan antaranya malu dengan masyarakat kerana dikurniakan cahaya mata tidak normal.

Naib Yang Dipertua, Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Jasmadin Budin, berkata kegagalan itu menyebabkan anak tadi hilang keistimewaan untuk menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan untuk mereka.

Beliau berkata, kerajaan perlu menjadikan negara maju lain sebagai contoh dalam usaha melaksanakan Akta Kanak-Kanak 2001 bagi membela golongan OKU.

Katanya, PERTIS mengharapkan kerajaan lebih tegas menangani masalah ini kerana tindakan berbuat demikian menyebabkan anak tidak mendapat rawatan terbaik.

“Pihaknya sentiasa menyokong usaha pelbagai pihak dalam usaha mereka menjaga kebajikan golongan OKU terutama kanak-kanak di negara ini.

“PERTIS bergerak pada landasan terbaik dengan mengambil berat individu cacat penglihatan menyokong saranan Ahli Majlis Kebangsaan bagi OKU.

“Kami menyeru kerajaan mengoptimumkan penguatkuasaan akta sedia ada dalam usaha mewajibkan ibu bapa mendaftar anak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Seperti di England, ibu bapa yang gagal mendaftar anak OKU dengan alasan malu dengan masyarakat dan menyorok mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Tindakan sama dilaksanakan di negara maju lain dengan menunjukkan betapa mereka prihatin terhadap golongan tidak bernasib baik ini,” katanya dihubungi BH.

Jasmadin mengulas saranan Ahli Majlis Kebangsaan bagi OKU, Dr Ruziah Ghazali, yang dilaporkan sebagai memetik mahu kerajaan menggunakan akta terhadap ibu bapa yang gagal mendaftarkan anak OKU.

Beliau berkata, pihaknya mengharapkan stigma masyarakat mampu diubah dengan tidak menganggap OKU golongan yang membebankan memandangkan mereka mampu berdikari sekiranya disediakan infrastruktur mencukupi.

“PERTIS sering mengadakan penerangan di masjid, surau dan persekitaran awam mengenai tanggungjawab ibu bapa yang memiliki anak istimewa menerusi program Memperkasakan Ilmu, Lestarikan Kehidupan (MILK) supaya mendaftar anak OKU sebagai perkara utama.

“Kes terbaru yang boleh kita jadikan pengajaran andainya ibu bapa gagal mendaftar anak di bawah JKM seperti berlaku baru-baru ini, iaitu seorang remaja ditangkap kerana didakwa mencabul seorang wanita di tempat parkir kenderaan.

“Ibu bapa remaja berkenaan mendakwa anaknya seorang OKU, namun gagal menunjukkan sebarang pengenalan kad OKU menyebabkan remaja itu di penjara kerana kesalahan mencabul.

“Sebelum ini, kerajaan turut menyediakan pelbagai keistimewaan kepada golongan OKU yang memiliki kad pendaftaran. Antaranya OKU yang bekerja boleh mendapat Elaun Pekerja Cacat (EPC), Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi OKU berusia 18 tahun, Skim Takaful MySalam secara percuma dan banyak lagi kemudahan lain,” katanya.

Menerusi rekod di JKM, sehingga Jun lalu seramai 549,554 OKU sudah berdaftar bersama JKM.

Nuraini Ishak bersama anak saudaranya.
Nuraini Ishak bersama anak saudaranya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Nuraini Ishak, 33, berkata beliau berharap kerajaan dapat menguatkuasakan undang-undang terhadap ibu bapa atau penjaga yang menyembunyikan status kesihatan anak khususnya yang dilahirkan tidak sempurna.

Katanya, meskipun sudah berada dalam era digital dengan perhubungan tanpa sempadan, namun jangan terkejut kerana masih ada ibu bapa masih berfikiran kolot seolah tidak boleh menerima kehadiran anak istimewa sehingga mengabaikan hak mereka.

“Andainya, ibu bapa atau penjaga gagal mendaftarkan anak mereka sebagai OKU selepas mendapatkan pengesahan doktor ia menyebabkan anak tadi tidak mendapat keistimewaan.

“Banyak masalah lain akan ditanggung kanak-kanak itu apabila hak mereka diabaikan. Ini juga satu kerugian kepada OKU sehingga menyebabkan penjaga dibebani dengan kos penjagaan atau rawatan yang tinggi.

“Saya menyarankan tindakan tegas perlu dikenakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang tidak mendaftar anak OKU mereka di bawah JKM.

Tindakan itu sebagai pengajaran kepada masyarakat agar golongan OKU ini dipandang lebih tinggi dan bukan menidakkan hak asasi mereka,” katanya.

Beliau yang mempunyai anak saudara OKU berusia 14 tahun selepas disahkan doktor menghidap cerebral palsy.

Seorang bapa, Mohd Fadzil Mohd Said, 57, berkata kegagalan mendaftar anak OKU mengundang beban, malah kerugian kepada anak istimewa itu mendapatkan peruntukan kerajaan.

“Setiap tahun, kerajaan tidak pernah lupa kepada golongan OKU untuk memberikan peruntukan bagi meringankan beban mereka dan penjaga.

“Pada pengumuman Belanjawan 2020 lalu juga kerajaan turut menyediakan peruntukan kepada individu bujang berumur 40 tahun ke atas dan OKU layak menerima RM300 dan secara automatik menjadi penerima Skim Takaful MySalam secara percuma dan banyak lagi peruntukan lain.

“Ini adalah hak mereka dan jika masih ada ibu bapa yang mengabaikan hak pendaftaran anak OKU mereka, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dengan mendakwa mereka di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 sebagai pengajaran,” katanya.

Berita Harian X