Jumaat, 27 Disember 2019 | 1:28pm
SENAMAN baik untuk peredaran darah, mencantikkan punggung, mengecilkan pinggang dan mengempiskan perut. - Foto hiasan
SENAMAN baik untuk peredaran darah, mencantikkan punggung, mengecilkan pinggang dan mengempiskan perut. - Foto hiasan

Bersenam di pantai menyeronokkan

BERSENAM antara aktiviti wajar dilakukan setiap insan untuk memastikan tubuh lebih sihat dan membantu membakar kalori.

Bersantai dengan berjalan di pantai, bergambar dan melihat keindahan alam sambil bersenam sewajarnya menjadi amalan sekurang-kurangnya satu jam. Manfaatkan waktu cuti anda seisi keluarga melakukan senaman secara santai seperti ‘push-up’ dan ‘plank’.

Kaedah itu mampu membakar jumlah kalori dalam badan dengan gaya senaman bersahaja.

Misalnya, bergerak lebih dekat dengan pesisir pantai, menghirup udara segar dengan alunan bunyi desir ombak, lebih membina motivasi untuk melakukan senaman dalam kedudukan ‘plank’.

Antara senaman lain yang boleh dilakukan iaitu lompat bintang, lompat mencangkung mahupun ‘jump tuck’, berdiri dan pastikan lutut di hadapan hampir sama dengan dada dan tolak punggung ke belakang selama beberapa saat.

Senaman seperti ini baik untuk peredaran darah, membakar kalori dan bagi wanita membantu mencantikkan punggung, mengecilkan pinggang dan mengempiskan perut jika dilakukan secara konsisten.

Kemudian, mungkin boleh melakukan “push-up”, menurunkan seluruh badan terutama bahagian dada ke pantai. Umpama aksi adiwira Superman atau duyung terdampar di pantai, anda terlupa gaya ini sebenarnya satu senaman.

Senaman berupaya mengurangkan rasa tekanan kerana minda dan emosi sentiasa tenang menghadap pemandangan laut. Lebih menyeronokkan jika senaman ini dimanfaatkan bersama rakan, ahli keluarga dan juga pasangan.

Jurulatih peribadi, Cruzellyn Alex, berkata senaman di kawasan pantai umpama ‘ubat mujarab’ melegakan tekanan dan memulihkan rasa tegang kesan tekanan.

Katanya, amalkan senaman ini sejam sehari, jenis senaman kardio lebih baik dilakukan ketika perut masih kosong. Ini kerana kalori yang diambil dapat dibakar dengan lancar.

BERSENAM amalan baik untuk membantu membakar kalori. - Foto hiasan
BERSENAM amalan baik untuk membantu membakar kalori. - Foto hiasan

“Namun, jika anda mengambil sarapan, pilih buah-buahan seperti pisang sebagai sajian awal.

“Senaman ini baik kerana anda dapat menghirup udara segar dan lebih banyak oksigen berbanding senaman di gimnasium,” katanya ketika program Guardian Malaysia Healthy Beauty Retreat 2019 di Port Dickson, baru-baru ini.

Cruzellyn berkata, disarankan bersenam di pantai pada waktu pagi kerana suasana seumpama ini menampilkan elemen alam lebih selesa sambil minda menyerap keindahan alam semula jadi.

Boleh juga lakukan senaman ini dengan iringan muzik untuk merangsang lebih tenaga untuk bersenam. Senaman di pantai merangsang emosi untuk kekal sihat dan bertenaga,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X