Isnin, 27 Januari 2020 | 9:31am
Bicara Keluarga diperkenal LPPKN bagi sampaikan tip dan mesej kekeluargaan secara lebih dekat dengan komuniti.
Bicara Keluarga diperkenal LPPKN bagi sampaikan tip dan mesej kekeluargaan secara lebih dekat dengan komuniti.

Enam juta wanita keluarga 'sandwic'

KUALA LUMPUR: Peranan mengurus, menanggung dan menyara anak serta ibu bapa yang semakin tua antara tanggungjawab yang tidak seharusnya diketepikan meskipun sesetengahnya berdepan dengan pelbagai kesukaran.

Berdasarkan kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPMKM-5) mendapati, 68.2 peratus atau hampir enam juta wanita di negara ini dikategorikan sebagai keluarga ‘sandwic’, iaitu menanggung beban menyara anak dan ibu bapa secara serentak.

Keluarga atau generasi ‘sandwic’ adalah merujuk kepada generasi atau keluarga yang perlu membesarkan anak dan dalam masa yang sama perlu menjaga ibu bapa.

Dalam konteks ini, golongan wanita terbabit mempunyai kerjaya, namun terbeban kerana perlu menjaga dua generasi secara serentak.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah, berkata keluarga ‘sandwic’ terperangkap dalam urusan penjagaan terhadap dua generasi, iaitu anak dan ibu bapa.

Katanya, dalam sesetengah keluarga ‘sandwic’ yang tinggal serumah turut terbeban dengan pelbagai peranan dalam satu masa, iaitu selepas seharian bekerja, pulang ke rumah dan mengambil tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan penjaga orang tua. Ia dilakukan atas dasar tanggungjawab anak terhadap ibu bapa.

Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah. - NSTP/Supian Ahmad
Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah. - NSTP/Supian Ahmad

“Berdasarkan unjuran penduduk pada 2014, seramai 5.9 juta wanita pernah berkahwin berada dalam situasi generasi ‘sandwic’,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, jika dilihat dari segi pecahan wilayah, peratusan keluarga ‘sandwic’ yang ada di Sarawak adalah lebih tinggi, iaitu 71.3 peratus berbanding di Sabah (68.9 peratus) dan di Semenanjung (67.8 peratus).

“Didapati juga peratusan keluarga ‘sandwic’ adalah lebih tinggi di bandar (68.3 peratus) berbanding luar bandar (67 peratus).

“Dari segi etnik, Melayu, Cina dan India masing-masing mencatatkan dua daripada tiga keluarga tergolong dalam keluarga ‘sandwic’, ”katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Shukur berkata, ada antara ibu bapa berkenaan tiada simpanan atau terlantar sakit seperti Alzheimer atau dimentia atau nyanyuk malah ada antaranya juga perlu menguruskan anak istimewa atau orang kurang upaya (OKU).

Berikutan itu, ada wanita terbabit terpaksa kerap mengambil cuti bagi menguruskan keluarga.

“Tidak dinafikan beban yang dipikul boleh menimbulkan tekanan, malah antara kes pernah dikendalikan LPPKN membabitkan pergaduhan adik-beradik akibat komitmen dan tanggungjawab menjaga ibu bapa.

“Ini terjadi akibat kurangnya pengetahuan dan rasa tanggung jawab anak terhadap ibu bapa dan meletakkan semua beban di bahu adik-beradik lain,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengatasi perkara ini secara berkesan, setiap anak perlu memiliki pengetahuan dan kemahiran menjaga ibu bapa yang uzur.

Tanpa kesedaran dan pengetahuan, ia boleh meningkatkan risiko berlakunya konflik dan menjejaskan hubungan baik sesama ahli keluarga, termasuk menjejaskan rumah tangga sekiranya suami tidak memberikan sokongan dalam perkara ini.

Bagi keluarga yang menerapkan nilai perhubungan keluarga yang erat dan mesra sesama ahli keluarga, situasi ini akan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

“Mereka akan saling bantu membantu dan berkongsi sumber dalam keluarga. Mereka tahu memainkan peranan, tanggungjawab dan sempadan setiap individu dalam keluarga supaya dapat hidup dengan lebih harmoni dan sejahtera.

“Malah, mereka dapat menurunkan tradisi dan budaya yang positif secara turun-temurun dalam memupuk nilai kekeluargaan,” katanya.

Namun, katanya, bagi keluarga yang kurang rapat dan tiada hubungan positif serta tiada kemahiran komunikasi yang kemungkinan mereka akan berasa terbeban untuk hidup bersama dengan mesra, bertolak-ansur, mengambil peranan dan tanggungjawab.

“Mereka juga kurang jelas peranan antara satu sama lain. Tidak hormat menghormati antara satu sama lain. Dalam situasi sedemikian, mereka lebih mudah terbabit dalam pergaduhan dan konflik rumah tangga,” katanya.

Abdul Shukur berkata, bagi mengatasi perkara ini, pihaknya menawarkan khidmat kaunseling kekeluargaan di semua pusat keluarga LPPKN, selain mempunyai 57 kaunselor berdaftar yang dilantik untuk memberi perkhidmatan kaunseling di Pusat Keluarga dan 49 Klinik Nur Sejahtera LPPKN, di seluruh negara.

“Pada masa sama, kita sentiasa meningkatkan aksesibiliti kepada perkhidmatan sokongan oleh semua pihak seperti pusat jagaan harian, saringan kesihatan dan perkhidmatan kesejahteraan untuk warga emas.

“Satu projek perintis iaitu Anjung Interaktif, Rekreasi, Intervensi dan Sokongan Keluarga (AIRIS) juga dimulakan LPPKN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan di cawangan Selayang, Selangor untuk pembangunan masyarakat, termasuk program pendidikan kekeluargaan LPPKN,” katanya.

Beliau berkata, program sebegini diharap dapat membantu menyuburkan nilai penyayang, prihatin, hormat-menghormati, adil dan saksama, membantu dan melindungi ibu bapa dalam diri setiap anak.

Pada masa sama, LPPKN juga menyediakan Program Pengukuhan Nilai Antara Generasi (Inter-Generational Solidarity) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bagi menangani isu bebanan membabitkan golongan itu.

“Program ini menerapkan nilai antara generasi dalam keluarga dan masyarakat. Antara aktiviti yang sudah diadakan adalah, Kempen Pengukuhan Nilai Murni menerusi mesej dalam akhbar dan radio sejak Disember 2011, program sambutan hari utama seperti Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Keluarga.

“Kempen terkini yang memberi keutamaan kepada nilai kekeluargaan kepada generasi hari ini adalah ‘Kitakan keluarga’. Kempen ini membawa elemen kekeluargaan bukan sekadar kalangan keluarga sendiri, malah turut dikembangkan kepada ahli masyarakat dalam komuniti.

“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ikatan dan kemesraan di antara datuk nenek, ibu bapa dan anak serta pembangunan modul ‘Grand Parenting’ bersama pakar untuk digunakan dalam program pendidikan bagi melengkapkan modul kitaran hidup keluarga ‘Life Cycle’ sedia ada,” katanya.

Berita Harian X